Felda dilantik urus ladang sawit, ternakan biri-biri

7/28/2009 — Utusan Malaysia
Jabatan Pembangunan Sosial Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melantik Felda untuk menguruskan ladang kelapa sawit dan ternakan kambing biri-biri dalam Projek Agropolitan Pekan bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkesan.
Pengurus Besar ECERDC, Zulkifli Yaacob berkata, Felda akan bertindak sebagai agensi penyelaras beberapa aktiviti dalam kedua-dua projek tersebut.
“Ini termasuk menguruskan penyertaan tenaga kerja, penyediaan latihan, bantuan teknikal, memantau kualiti produk dan perkhidmatan pembelian semula,” katanya ketika ditemui selepas program lawatan media ke Projek Agropolitan Pekan di Runcang, dekat sini semalam.
Dalam program itu, media dibawa melihat projek ternakan biri-biri jenis Dorper yang diimport dari Australia.
Haiwan itu ditempatkan di enam kandang dengan setiap satunya menempatkan lebih 100 ekor.
Zulkifli memberitahu, ECERDC memilih Felda kerana agensi itu berpengalaman dalam pengurusan ladang dan ternakan.
“Kita dapat melihat banyak projek yang berjaya diuruskan oleh Felda negara ini.
”Ini membuktikan Felda mampu menguruskan projek ini dengan berkesan,” jelasnya.
Selain itu, katanya, Pusat Pembangunan ECER juga akan bertindak sebagai fasilitator dan menyelaras keseluruhan projek itu bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual.
Sementara itu, katanya, para peserta Projek Agropolitan Pekan akan dipilih oleh kerajaan negeri menerusi program e-Kasih iaitu sebuah program membasmi kemiskinan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, hanya penduduk tempatan akan dilibatkan dalam projek tersebut bagi memastikan sasaran membasmi kemiskinan tegar menjelang 2010 tercapai.
Projek Agropolitan Pekan akan dilaksanakan dalam tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2010.
Projek itu akan melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,825 hektar di Tanjung Baru, Bebar dan Kubang Panjang, Lepar dengan kos keseluruhan kira-kira RM90 juta.
Seramai 1,450 keluarga miskin tegar termasuk 750 keluarga orang asli akan menyertai projek tersebut yang bertujuan meningkatkan pendapatan isi rumah daripada RM360 kepada RM1,500 sebulan.