Harian Metro Online – Usahawan contoh

Tiga wanita, dua pada awalnya menjalankan perniagaan kecil-kecilan di rumah manakala seorang lagi menjadi pemandu bas sekolah wajar dijadikan contoh kepada suri rumah dan ibu tunggal untuk berjaya dalam perniagaan, seterusnya mengubah taraf hidup untuk keluar daripada kepompong kemiskinan.

Khairina Abdul Latib, 39, pada awalnya berniaga secara kecil-kecilan dari rumah dengan pendapatan kira-kira RM300 sebulan kerana kekangan kewangan dan kekurangan peralatan, selain kurang kemahiran serta ilmu.

Hasil kesungguhan untuk mengubah nasib, dia berusaha mendalami ilmu membuat kek dan pastri melalui kursus anjuran Empower Wilayah Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER).

Kini, dia bukan sahaja mampu memiliki dua kedai dengan pendapatan bulanan mencecah RM8,000, malah kepakarannya juga diiktraf banyak pihak hingga dilantik menjadi tenaga pengajar kepada wanita di Endau dan FELDA Nitar yang berminat mempelajari kemahiran itu.

Berkat usaha berterusan dan sokongan Empower ECER dan rakan, dia kini mampu menghasilkan pelbagai jenis kek dan menerima tempahan daripada pelbagai agensi.

Seorang lagi usahawan, Azizah Suliman, 57, yang membuat biskut, kek dan pastri di bandar Mersing juga mampu memper­oleh pendapatan RM8,000 sebulan berbanding hanya RM800 sebelum ini dengan berniaga secara kecil-kecilan.

Ia bermula selepas Azizah menyertai Empower ECER sebelum mendapat keyakinan untuk memajukan perniagaannya dengan memperkenalkan pelbagai jenis biskut dipelajari.

Ng Tai Kah, 57, yang pernah bekerja sebagai pemandu bas sekolah dengan pendapatan RM300 sebulan kini boleh berbang­ga de­ngan hasil diperoleh daripada perniagaan kerepek ketam yang memberi pulangan sehingga RM5,000 sebulan membolehkan dia layak menerima Anugerah Khas Usahawan pada majlis sama.

Pengurus Program Empower ECER R Suraindaran berkata, tiga wanita terbabit ikon terbaik kepada wanita dan suri rumah di daerah Mersing yang berjaya selepas menyertai Empower ECER.

“Kami di Empower ECER sentiasa berusaha membantu penduduk menjana pendapatan, seterusnya keluar dari belenggu kemiskinan melalui pelbagai kursus keusahawanan, kemahiran dan pendidikan,” katanya.

Katanya, dua daripada mereka turut mendapat pengiktirafan peringkat nasional apabila Kahirina menerima Anugerah Usahawan Harapan manakala Azizah pula menerima Aungerah Usahawan pada majlis Anugerah Usahawan Gemilang Empower ECER yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2016 @ 2:20 PM