Insentif menarik syarikat melabur dalam ECER

12/19/2009 — Utusan Malaysia
Pahang sedia menawarkan pelbagai insentif menarik kepada syarikat yang ingin melabur dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, antara insentif menarik yang disifatkannya sebagai pakej rangsangan kepada syarikat untuk membuat pelaburan di ECER ialah pengurangan premium tanah dan pengecualian cukai pendapatan selama lima hingga 10 tahun.
“Insentif lain ialah elaun pelaburan, pengecualian duti import dan cukai jualan serta pengecualian duti setem,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Kerjaya di pekarangan pejabat Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) Jalan Teluk Sisek di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Muhammad Safian Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace.
Menurut Adnan, projek ECER yang dilaksanakan di negeri ini ‘berjalan lebih laju’ dan ada yang melebihi jadual asal seperti projek ternakan kambing biri-biri melibatkan Orang Asli di Runchang, Pekan.
Beliau berkata, penyelarasan projek-projek di zon ekonomi itu diselaraskan oleh beberapa pihak antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP), Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dan ECERDC sendiri.
Mengenai Program Kerjaya yang dilancarkan ECERDC itu, beliau berkata, ia memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu Program Penempatan Graduan dan Pekerja, Program Latihan Graduan dan Program Latihan Kemahiran dalam memacu pembangunan modal insan di wilayah ekonomi itu.
Beliau yang menyambut baik program tersebut berkata, ini secara tidak langsung akan dapat membantu kerajaan mengatasi masalah pengangguran di samping memberi latihan di kalangan graduan serta penganggur.