Kajian pembangunan Bukit Bunga

7/4/2011 — Utusan Malaysia
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) akan menjalankan kajian tentang pembangunan di Bukit Bunga dekat sini sebagai sebuah pusat pertumbuhan ekonomi yang baharu di Kelantan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kajian selama enam bulan itu akan melibatkan semua aspek, termasuk pembangunan infrastruktur di kawasan tersebut.
Beliau berkata, Bukit Bunga mempunyai potensi yang amat besar dengan kedudukannya yang terletak di kawasan sempadan dan lengkap dengan kemudahan Imigresen serta Kastam.
“Ini merupakan salah satu kajian yang sedang dijalankan oleh ECERDC bagi menjalankan projek, kajian ini akan melihat bagaimana untuk membangunkan kawasan ini, di mana mahu membina bangunan, rumah kedai dan sebagainya.
“Pada masa yang sama, ECERDC juga akan menjalankan kajian untuk membangunkan pusat industri ikan di Tok Bali, Bachok,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Empower Jeli di Dewan Majlis Daerah di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John.
Empower Jeli merupakan program pembangunan modal insan yang diperkenalkan oleh ECERDC dan bertujuan mempertingkatkan serta memperkasakan masyarakat yang seimbang dan seiring dengan matlamat 1Malaysia.
Program tersebut terbahagi kepada dua komponen iaitu kelas tuisyen untuk 700 pelajar yang akan menduduki peperiksaan dan kelas kemahiran yang kini disertai seramai 500 orang sejak ia mula diperkenalkan pada April lalu.
Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Kelantan berkata, ECER telah membina 300 buah rumah yang bernilai RM40 juta untuk golongan miskin di Gua Musang.
“Selain itu, ECER juga sedang menjalankan projek hab halal di Pasir Mas melibatkan kos RM35 juta.
“Ini membuktikan Kerajaan Pusat tidak pernah mengabaikan rakyat Kelantan dan semua projek pembangunan ini adalah untuk masa depan mereka,” katanya.