Kemelesetan ekonomi tidak jejas projek ECER

4/9/2009 — Utusan Malaysia
Kemelesetan ekonomi ketika ini tidak menjejaskan pelaksanaan semua projek pembangunan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, Kerajaan Pusat mempunyai dana dan peruntukan yang cukup untuk pelaksanaan projek-projek yang telah dirancang.
“Semua projek yang dirancang di bawah program pembangunan ECER akan diteruskan kerana Kerajaan Pusat telah menyediakan peruntukan yang cukup untuk pelaksanaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis taklimat perkembangan ECER di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER, Datuk Jebasingam Issace John.
Ahmad berkata, sebanyak 21 projek telah dimulakan sejak tahun lepas manakala 11 lagi disasarkan bermula pada pertengahan tahun ini.
Katanya, sebanyak 10 lagi projek akan bermula sebelum hujung tahun ini dan dua lagi projek akan dimulakan pada awal tahun depan.
Beliau menambah, kesemua projek berkenaan membabitkan pelaburan RM10.8 juta termasuk RM3 juta dalam sektor pelancongan, pembuatan/petrokimia (RM7.6 juta) dan pertanian (RM92 juta).
Ahmad memberitahu, projek pembangunan di bawah ECER akan memberi tumpuan kepada industri petrokimia, industri berasaskan minyak dan gas, aktiviti berasaskan pertanian terutama penternakan kambing, perikanan, sayuran, herba dan kenaf.
“Sejak awal lagi Terengganu dikenal pasti sebagai ‘Gerbang Pelancongan’ dan tumpuan projek-projek pembangunan ke arah pelancongan akan diberi perhatian,” katanya.