1/13/2010 — Sinar Harian (Terengganu)
Kadar pengangguran di Terengganu akan dapat dikurangkan dengan terlaksananya Program Pembangunan Modal Insan di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) atau lebih dikenali sebagai Kerjaya ECER.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, program terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Program Penempatan Graduan, Program Penempatan Pekerja dan Program Latihan Kemahiran yang akan memberi banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Menurutnya, sejak ia dilancarkan, lebih 1,600 peserta mempunyai kelayakan diperlukan mendaftar diri bagi mengikuti tiga program berkenaan, sekali gus merebut peluang keemasan ditawarkan syarikat terbabit.
“Melalui Program Penempatan Graduan, seramai 304 peserta mendaftar termasuk 18 syarikat berpotensi,” katanya selepas melancarkan Program Kerjaya peringkat negeri Terengganu di Hotel Primula Beach Resort, di sini, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong; Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER (ECERDC), Datuk Jebasingam Issace John dan jemputan kehormat lain.
Ahmad berkata, graduan yang menganggur di negeri ini akan diambil bekerja sekurang-kurangnya dua tahun di syarikat terpilih dan turut berpeluang diserap sebagai pekerja tetap selepas program berakhir.
Menurutnya, sepanjang tempoh sembilan bulan pertama, peserta diberikan pendedahan latihan di tempat kerja, selain menerima gaji minimum bulanan antara RM1,200 hingga RM1,500 yang disumbangkan ECERDC dan syarikat terbabit.
Katanya, melalui Program Penempatan Pekerja, ECERDC akan membantu syarikat di negeri ini mencari pekerja tetap dan sambilan dalam kalangan mereka yang diberhentikan kerja akibat krisis ekonomi.
Ahmad berkata, seramai 448 peserta telah mendaftar.
Selain itu, menurutnya, lebih 13 pusat latihan kemahiran menawarkan 74 kursus kemahiran bersesuaian dengan keperluan semasa telah dilantik mengendalikan Program Latihan Kemahiran untuk graduan dan pelajar lepasan sekolah.
“Setakat ini, seramai 909 orang telah berdaftar bagi mengikuti pelbagai program latihan kemahiran dalam bidang mekanikal, elektronik dan komputer, pramusaji pelancongan serta kursus berteknologi tinggi seperti robotik dan otomasi.
“Pada akhir tempoh latihan ini yang dijangka mengambil masa antara satu hingga lapan bulan, ECER menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada peserta dilatih layak ditempatkan dengan syarikat terbabit,” katanya.
Sementara itu, Ahmad yang berpuas hati dengan :perkembangan projek ECER yang kini giat dijalankan berkata, enam lagi projek berimpak tinggi dilaksanakan di Terengganu tahun ini.
“Projek itu adalah pembangunan Pelabuhan Kemaman, projek Internasional Digital Business Exchange (IDBX), Pusat Animasi Global, kerja kawalan hakisan di Pantai Teluk Lipat, Dungun dan program pembangunan Industri Kraf Tangan,” katanya.