Feb 5, 2008
PEMBANGUNAN di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) akan memberi kesan positif terhadap
harga dan pembangunan hartanah terutama di kawasan perindustrian.
Pengarah Penyelidikan Hartanah Henry Butcher Malaysia, Fahariah Abdul Wahab berkata kesan
positif itu akan menjadi pemangkin utama pembangunan di wilayah berkenan sekiranya semua
inisiatif ECER dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, langkah yang diambil untuk pembangunan itu tepat pada masanya selain
memanfaatkan peluang potensi dalam industri pelancongan terutama bagi pembinaan hotel serta
kawasan rekreasi baru di wilayah berkenaan.
“Kami menerima beberapa permintaan daripada pelabur yang berminat melabur dalam industri
perhotelan di wilayah berkenaan dan pelaburan itu masih bergantung kepada harga tanah dan
kesesuaiannya sebelum mereka melabur,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sekretariat
ECER di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, pembangunan itu penting memandangkan wilayah itu masih kekurangan hotel berkualiti
yang bertaraf lima atau enam bintang bagi menarik pelancong asing dan ahli perniagaan.
— Harian Metro (Ekonomi)