KFH Malaysia rangka inisiatif pembiayaan ECER

KUWAIT Finance House (Malaysia) Bhd (KFH Malaysia) sedang merangka program
induk yang mengandungi beberapa inisiatif pembiayaan di Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECER), kata Pengarah Urusannya, Datuk K Salman Younis.
Beliau berkata, pihaknya sedang berunding dengan syarikat pelaburan negeri –
Terengganu Inc dan syarikat berkaitannya, mengenai peluang yang boleh
dilaksanakan dengan mereka dan Jawatankuasa ECER.
“Kami melihat kepada peluang pembiayaan khusus bagi beberapa syarikat berkaitan
termasuk prasarana, minyak dan gas, perkapalan, perladangan, pertanian serta
teknologi maklumat. Setakat ini, semua perbincangan itu tertumpu kepada
pembiayaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Kuwait Finance House, syarikat induk KFH Malaysia, antara bank Islam terbesar
dunia, terbabit dalam menyediakan perkhidmatan perbankan Islam termasuk
perbankan pengguna, pembiayaan hartanah, pajakan, dan dagangan, pelaburan
terus serta pelaburan portfolio yang mematuhi Syariah.
KFH Malaysia terbabit dalam pelbagai projek termasuk menubuhkan dana pelaburan
bernilai kira-kira AS$330 juta bagi kluster Kebudayaan merangkumi Perkampungan
Logistik, Taman Kreatif dan Daerah Warisan di tapak seluas kira-kira 350 di Node 1
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Pelaburan itu adalah pembangunan hartanah asing tunggal terbesar di negara ini,
selain menjadi antara pembangunan hartanah terbesar di rantau ini dan salah satu
pelaburan asing tunggal di Malaysia.
Antara projek lain dibiayainya termasuk pembangunan Menara Glomac, The Avare
dan The Oval di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Kuala Lumpur Sentral Sdn
Bhd.
Selain itu, KFH Malaysia turut membiayai projek pembangunan komersial bersepadu
The One di Penang Cyber City dan menaja jamin penjualan 30 unit banglo yang
terletak di Batu Uban, Pulau Pinang.
Ia turut terbabit dengan perkongsian strategik dengan Kumpulan Sunway dalam
rancangan pembangunan bercampur Sunway South Quay, selain pembelian dua
blok pangsapuri mewah di Reflections, Keppel Bay di Singapura.
Mengenai rancangan cawangan runcitnya di ECER, Younis berkata, KFH Malaysia
akan menilai kesesuaian mewujudkan cawangan berasaskan kejayaan korporat,
pelaburan dan perniagaan komersialnya di sana. Ketika ini, KFH Malaysia terbabit dalam membiayai sekolah latihan penerbangan
dan pengeluar pakaian di Kota Bharu.
Pembangunan ECER merangkumi pelancongan, minyak dan gas, pembuatan,
pertanian dan pendidikan.
Pelan induknya membayangkan Terengganu akan menjadi pintu gerbang
pelancongan, hab minyak dan gas serta industri petrokimia, pusat kecemerlangan
pendidikan dan pertanian yang menumpukan penternakan kambing dan lembah
sitrus.
Kelantan pula menjadi pusat dagangan, pembangunan modal insan, kecemerlangan
pendidikan selain penuaian herba dan haiwan ternakan.
Pahang akan memberi tumpuan terhadap sektor pengeluaran dan menjadi bandar
raya pelabuhan dengan pusat agihan logistik bersepadu, kluster industri minyak
sawit selain lembu dan nanas, manakala Mersing di Johor dibangunkan sebagai
pusat pelancongan.