KFH Rancang Inisiatif Pembiayaan Bagi ECER

KUALA LUMPUR, 19 Mac (Bernama) — Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd
sedang berbincang dengan syarikat pelaburan negeri Terengganu, Terengganu Inc,
dan syarikat berkaitannya mengenai inisiatif pembiayaan dalam Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECER).
“Kami telah mengkaji peluang pembiayaan bagi sesetengah daripada syarikat
berkaitan itu yang terdiri daripada infrastruktur, minyak dan gas, perkapalan,
peladangan/pertanian dan IT (teknologi maklumat),” kata pengarah urusannya Datuk
Salman Younis.
“Setakat ini, semua perbincangan tertumpu kepada pembiayaan,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Mengenai rancangan mewujudkan cawangan runcitan dalam ECER, Younis berkata
bank Islam itu akan menilai daya majunya berasaskan kepada kejayaan perniagaan
korporat, pelaburan dan komersial di sana.
Beliau berkata bank itu kini terbabit dalam pembiayaan sebuah sekolah latihan
penerbangan dan pengeluar pakaian, kedua-duanya di Kota Baharu.
Kuwait Finance House, satu daripada bank Islam terbesar di dunia, telah
melancarkan beberapa projek, termasuk menubuhkan satu dana melabur kira-kira
AS$330 juta bagi projek di Wilayah Pembangunan Iskandar.
Pelan induk ECER bermatlamat menjadikan Terengganu sebagai pintu masuk
pelancongan, hab bagi industri minyak, gas dan petrokimia, pusat kecemerlangan
pendidikan dan pertanian yang tertumpu kepada ternakan kambing serta lembah
sitrus.
Kelantan pula menjadi pusat perdagangan, pembangunan modal insan,
kecemerlangan pendidikan dan ternakan ayam itik serta penanaman herba.
Pahang akan menumpukan kepada pembuatan dan menjadi bandar raya pelabuhan
dengan pusat pengedaran logistik bersepadu dan kelompok perindusrian minyak
sawit selain pusat penternakan lembu dan tanaman nanas, manakala Mersing di
Johor akan dibangunkan sebagai pusat pelancongan.
— BERNAMA