4/27/2011 — Utusan Malaysia
Mungkin ramai yang janggal dengan perkataan konurbasi. Mungkin ia satu istilah baru tetapi sebenarnya ia telah wujud terutama dalam aspek perbandaran dan wilayah. Konurbasi bermaksud pengelompokan bandar-bandar utama dalam satu kapasiti yang sangat luas.
Contoh konurbasi yang terdapat di negara ini ialah di Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Ketiga-tiga bandar raya ini bagaikan tiada sempadan pemisah apabila ia berkembang dan bersambung antara satu sama lain.
Matlamat itulah yang dihasratkan kerajaan untuk melihat bandar Pekan, Kuantan, Pelabuhan Kuantan hingga ke Gebeng membangun serentak dalam satu pengelompokan sebagaimana yang wujud di Lembah Klang.
Harapan itu dianggap amat penting dan menjadi nadi kepada Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER-SEZ) yang bermula dari Kertih, Terengganu sehingga ke Pekan.
Kawasan berkenaan dikenal pasti sebagai pusat pertumbuhan utama yang akan memacu pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan mengimbangi ketidakseimbangan antara wilayah.
Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan menerusi Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) sedang melaksanakan pelbagai projek infrastruktur termasuk kerja-kerja menaik taraf jalan raya bagi meningkatkan hubungan antara kawasan.
Bagi menjayakan hasrat tersebut, kerajaan menubuhkan Komplek Pemasaran Setempat (CMC) di Taman Automotif Pekan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini. CMC menjadi pusat sehenti untuk memenuhi keperluan dan kehendak pelabur di taman automotif itu.
Taman Automotif Pekan dijangka menjana pelaburan sebanyak RM4.5 bilion dalam tiga peringkat pembangunannya. Penubuhan taman itu seiring dengan Dasar Automotif Negara (NAP) yang akan merangsang pasaran dengan lebih kompetitif untuk syarikat tempatan dan antarabangsa.
Pembangunan di sesebuah kawasan tidak akan terlaksana jika aspek modal insan diketepikan. Sehubungan itu, bagi menyediakan modal insan terlatih, Kumpulan DRB-HICOM menubuhkan Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di Pekan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Jebasingam Issace John, ECERDC telah memulakan perlaksanaan Fasa 2 Taman Automotif Pekan yang merangkumi kawasan seluas 95.9 hektar. Kata beliau, pihaknya membelanjakan RM62 juta untuk pembangunan Pakej 1 bagi Fasa 2 projek Taman Automotif Pekan.
“Komponen penting dalam perluasan taman itu ialah pewujudan Taman Vendor Bersepadu yang bakal memusatkan pengeluar, pembekal dan penyedia perkhidmatan bagi komponen automotif di satu lokasi untuk mencapai sinergi dan penjimatan kos,” katanya.
Fasa kedua Taman Automotif Pekan juga melibatkan penubuhan Taman Eko yang sejajar dengan kedudukan Taman Automotif Pekan sebagai pelopor kepada pembuatan kenderaan mesra alam.
Penubuhannya juga seiring dengan penekanan kerajaan terhadap inisiatif hijau dan mampan. Tambah Jebasingam, kerja-kerja tanah dan infrastruktur di bawah Pakej 1 bagi Fasa 2 dijangka siap pada April tahun depan manakala pakej 2 bagi Fasa 2 dijangka bermula Jun ini.
Apa yang penting, segala usaha kerajaan mewujudkan konurbasi Kuantan bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya. Sekurang-kurangnya 10,580 pekerjaan bakal diwujudkan dalam konurbasi Kuantan ini.