Kraf seramik Kampung Tok Derpah boleh maju

Oleh Nor Fazlina Abd Rahim dan Radhiah Mohammad
Industri berasaskan tanah liat dirintis Rusli sekeluarga perlu
kerjasama pihak pertingkat promosi
PASIR MAS: Penghasilan kraf tangan berasaskan tanah liat dan
seramik negara ini, sering dikaitkan dengan Perak, yang terkenal
dengan pengeluaran labu sayung, bukan setakat menjadi sumber
ekonomi sebahagian penduduknya, malah turut menjadi tarikan
pelancong.
Namun, di sebalik kemegahan penduduk Perak dengan labu sayung itu,
industri kraf tangan berasaskan tanah liat sebenarnya sudah
berkembang ke Kelantan hampir 20 tahun lalu, malangnya kurang
mendapat perhatian walaupun kualiti produknya setanding apa yang
dihasilkan di negeri jiran itu.
Kampung Tok Derpah yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Bandar
Pasir Mas, adalah antara lokasi penghasilan produk berasaskan tanah
liat di Kelantan, yang sebenarnya berpotensi dimajukan jika promosinya
ditingkatkan.
Penghasilan kraf tanah liat di kampung itu dirintis seorang penduduk
kampung, Rusli Ismail, 42, yang bercita-cita mengubah hidup
keluarganya untuk lebih selesa selepas sekian lama bekerja kampung
dengan rezeki tidak seberapa.
Impian itu membuatkan beliau nekad merantau ke Perak dan Sarawak
selama dua tahun, semata-mata mempelajari ilmu penghasilan kraf
daripada tanah liat menerusi kursus anjuran Pusat Perbadanan
Kraftangan negeri terbabit.
“Berbekalkan pengalaman yang ditimba dengan modal permulaan
RM3,000 serta bantuan peralatan yang diberikan Jabatan Kemajuan
Masyarakat (Kemas), saya memulakan usaha menghasilkan produk
berasaskan tanah liat di kampung ini.
“Nasib saya sungguh baik, kerana tanah liat untuk proses ini boleh diperoleh di belakang rumah saja, hanya saya perlu menggali telaga
sedalam dua meter sebelum dapat mengeluarkan tanah liat yang bersih
dan sesuai untuk penghasilan pelbagai jenis kraf,” katanya ketika
ditemui di bengkelnya, baru-baru ini.
Meskipun ada yang memandang sinis terhadap kesungguhannya
berusaha menjayakan industri penghasilan kraf tanah liat itu, namun
isterinya, Junaidah Zakaria, 43, dan anak lelakinya, Rafnam Rusli, 18,
serta pegawai Kemas yang prihatin, adalah antara individu yang
sentiasa memberi sokongan kepada usahanya itu.
Bengkel pembuatan kraf tanah liat yang terletak bersebelahan
rumahnya itu menempatkan pelbagai peralatan termasuk alat pengisar,
pembakar dan mesin pengadun.
Proses pembuatan kraf itu bermula dengan usaha memproses tanah liat
yang diambil di belakang rumah apabila dikisar bersama sodium bagi
mencairkan tanah berkenaan serta menapis bahan kasar yang tidak
diperlukan, sebelum dimasukkan ke dalam acuan produk yang hendak
dihasilkan yang membeku dalam masa kira-kira dua jam.
Selepas tanah liat itu keras, acuan dibuka dan produk berkenaan
melalui proses mengukir corak yang diingini sebelum dimasukkan dalam
alat pembakar yang ditetapkan kepanasannya pada tahap 1,200 darjah
celsius selama lapan jam.
Rusli berkata, tahap kepanasan proses pembakaran itu perlu sentiasa
dikawal agar produk itu tidak pecah atau mengalami kerosakan yang
menyebabkan ia tidak boleh digunakan lagi.
Antara seramik tanah liat yang dihasilkan termasuklah buyung,
tempayan, periuk tanah, bekas telur, pasu bunga dan labu air yang
dijual pada harga antara RM1 sehingga RM40 sebiji. Namun daripada
barisan produk yang dihasilkan itu, periuk tanah dan labu air, mendapat
sambutan paling baik kerana digunakan orang ramai untuk memasak
dan mereneh serta hiasan.
Setiap bulan, Rusli bersama keluarganya mampu menghasilkan
sehingga 5,000 unit merangkumi pelbagai jenis seramik tetapi turut
bergantung kepada permintaan dan tempahan. Dari semasa ke semasa,
mereka turut menyertai pelbagai aktiviti promosi yang dijalankan di
seluruh Kelantan.
Selain jualan secara langsung kepada orang ramai terutama ketika
musim tertentu seperti kenduri dan perayaan, produk yang dihasilkan
Rusli turut menarik tempahan daripada agensi kerajaan seperti
Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada), Kemas, institut
pengajian tinggi. Sesekali, bengkelnya turut menerima kunjungan
pelancong.
Berbekalkan pengalamannya menghasilkan seramik itu, Rusli yang kini
turut bertugas sebagai Pemaju Masyarakat Kemas Pasir Mas, sedia
berkongsi pengalaman dengan mana-mana pihak terutama anak muda
yang berminat menceburi pembuatan produk terbabit menerusi latihan
yang diadakan di bengkel itu.
Pegawai Kemas Pasir Mas, Nor Heazi Aswal Norbani, berkata pihaknya
kini turut membantu promosi produk seramik Rusli menerusi
penyertaannya dalam aktiviti yang dijalankan jabatan itu.
“Selain berusaha menambah bilangan peserta yang mempelajari
kaedah penghasilan produk seramik di bengkelnya, kita akan membantu
menaik taraf bengkelnya agar dapat membantu menyediakan peluang
pekerjaan kepada anak muda tempatan dalam jangka panjang,”
katanya.
FAKTA NOMBOR: Seramik Kamung Tok Derpah, Pasir Mas
• 5,000 – Unit dihasilkan sebulan
• RM40 – Harga tertinggi produk
• RM3,000 – Modal permulaan.