Kuwait Finance biaya pelaburan di ECER

KUALA LUMPUR 19 Mac – Kuwait Finance House (Malaysia) Bhd. sedang
melakukan perbincangan dengan syarikat pelaburan Terengganu, Terengganu Inc.,
dan syarikat berkaitannya berhubung inisiatif pembiayaan di Wilayah Ekonomi
Pantai Timur (ECER).
Pengarah Urusannya, Datuk Salman Younis berkata, pihaknya telah mengkaji
peluang pembiayaan membabitkan syarikat yang terlibat dalam sektor infrastruktur,
minyak dan gas, perkapalan, peladangan/pertanian dan teknologi maklumat (IT)
“Setakat ini, semua perbincangan tertumpu kepada pembiayaan,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bank itu kini terbabit dalam pembiayaan sebuah sekolah latihan
penerbangan dan pengeluar pakaian, kedua-duanya di Kota Bharu.
KFH yang merupakan antara bank Islam terbesar di dunia telah melancarkan
beberapa projek, termasuk menubuhkan satu dana melabur kira-kira AS$330 juta
(RM1.04 bilion) bagi projek di Wilayah Pembangunan Iskandar.
Pelan induk ECER bermatlamat menjadikan Terengganu sebagai pintu masuk
pelancongan, hab bagi industri minyak, gas dan petrokimia, pusat kecemerlangan
pendidikan dan pertanian yang tertumpu kepada ternakan kambing serta lembah
sitrus.
Kelantan pula menjadi pusat perdagangan, pembangunan modal insan,
kecemerlangan pendidikan dan ternakan ayam itik serta penanaman herba.
Pahang akan menumpukan kepada pembuatan dan menjadi bandar raya pelabuhan
dengan pusat pengedaran logistik bersepadu dan kelompok perindusrian minyak
sawit selain pusat penternakan lembu dan tanaman nanas, manakala Mersing di
Johor akan dibangunkan sebagai pusat pelancongan.