2/5/2013 — Bernama
KUANTAN, 5 Feb (Bernama) — Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP), yang terletak di kawasan seluas 606 hektar di Gebeng dekat sini, bakal memberi faedah besar kepada negara. Dimajukan bersama mengikut prinsip ‘dipandu kerajaan, dipacu sektor swasta’ MCKIP menyasar pelaburan dalam industri teknologi tinggi oleh pelabur dari Malaysia, China dan antarabangsa dari Asean serta seluruh dunia.
MCKIP dijangka membawa hubungan Malaysia-China ke tahap lebih tinggi memandangkan ia memainkan peranan sinergistik dengan peranan bersama taman kembarnya di Qinzhou, iaitu Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou, yang akan membantu meningkatkan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Persidangan Perundingan Politik China (CPPCC), Jia Qinglin Selasa bersama-sama melancarkan MCKIP, taman perindustrian pertama di Malaysia yang akan diberikan status nasional.
“Ini merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang akan diberikan status nasional, yang bermakna ia akan dipacu oleh sektor swasta tetapi dipandu oleh kerajaan.
“Taman ini telah berjaya menarik komitmen pelaburan bernilai RM10.5 bilion, mewujudkan 8,500 pekerjaan dan seterusnya RM2.5 bilion akan dilabur oleh pemaju induk yang akan memainkan peranan dalam membina infrastruktur utama taman,” kata beliau dalam ucapan semasa melancarkan MCKIP di sini hari ini.
Komitmen pelaburan sebanyak RM10.5 bilion itu merupakan tambahan kepada RM38 bilion pelaburan yang telah berjaya dilakukan oleh Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) sejak 2007 hingga Januari 2013, yang mewujudkan 30,000 peluang pekerjaan bagi penduduk di kawasan berkenaan.
Komitmen pelaburan dalam MCKIP terdiri daripada RM5 bilion oleh Guangxi Beibu Gulf International Port Group bagi tiga projek, RM3 bilion lagi oleh Guangxi Beibu Gulf International dan IJM Corp Bhd dalam projek penyambungan Pelabuhan Kuantan serta RM2.5 bilion oleh pemaju induk MCKIP, yang merupakan usaha sama antara konsortium Malaysia dan China.
Terletak di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ) Malaysia, MCKIP pada kedudukan terbaik untuk menjadi hab industri teknologi tinggi, berorientasikan eksport yang akan memanfaatkan kedudukannya yang berdekatan dengan Pelabuhan Kuantan, yang terletak hanya lima kilometer.
Pengembangan Pelabuhan Kuantan akan melibatkan pembinaan terminal air dalam yang baharu yang membolehkan kapal-kapal sehingga 200,000 tan berat muatan berlabuh.
Apabila siap kelak pada 2015, Pelabuhan Kuantan akan berupaya mengendalikan 1.5 juta TEU (unit bersamaan dua puluh kaki) dan 14 juta tan kargo pukal kering setahun yang akan meningkatkan daya saing pelabuhan sebagai destinasi perkapalan serantau dan hab pindah kapal.
“Pengembangan berkenaan akan termasuk terminal air dalam yang baharu untuk menjadikan pelabuhan kompetitif sebagai destinasi pelabuhan utama,” kata Perdana Menteri.
Bagi menarik industri strategik ke taman berkenaan, Majlis Pembangunan ECER bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan kerajaan negeri Pahang untuk mempromosikan MCKIP kepada bakal pelabur bukan hanya dari China dan Malaysia, tetapi juga dari Asean.
Sementara itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata projek MCKIP secara langsung dilihat akan membawa banyak faedah kepada negeri dan rakyat di negeri Pahang.
“Kesan putaran ekonomi dan kesan berganda serta kesan tambah nilai sangat banyak, ia mewujudkan banyak peluang pekerjaan pada semua peringkat, profesional dan bukan profesional, mahir dan separuh mahir.
“Ia merangsang kerancakan perniagaan berteraskan perkhidmatan. Ia memberi nilai tambah kepada Tapak Perindustrian Gebeng menjadi hab perindustrian yang penting di negara ini,” katanya kepada Bernama menerusi pesan khidmat ringkas (SMS) di sini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCKIP di Kuantan dan taman di Qinzhou, China boleh memberi laluan kepada hubungan ekonomi yang mampan dengan Malaysia. Beliau berkata MCKIP boleh memainkan peranan penting dalam mengeratkan kerjasama ekonomi yang cergas antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua taman dan kemasukan pelabur asing dari seluruh dunia juga akan merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang sebaliknya bukan sahaja mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan tetapi menarik golongan muda yang sebelum ini berhijrah ke negeri lain untuk pulang dan bekerja di negeri sendiri,” katanya.
Industri yang disasarkan bagi MCKIP adalah pembuatan peralatan logam dan plastik, peralatan automotif, komponen elektronik serta teknologi maklumat dan komunikasi.
— BERNAMA