12/26/2010 — Sinar Harian (Pahang)
Masyarakat Orang Asli yang tinggal di sekitar daerah ini akan diberi peluang mengusahakan pengeluaran nanas secara komersial di bawah Projek Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Senator Datuk Maznah Mazlan berkata projek di Kampung Tanam dengan keluasan 5 000 hektar itu bertujuan meningkatkan taraf hidup Orang Asli di daerah Rompin.
Menurutnya, peserta akan menerima bimbingan daripada Lembaga Nanas Negara, selain akan dibekalkan anak benih berkualiti supaya hasilnya mampu meningkatkan pendapatan hidup golongan terbabit.
“Projek tanaman nanas di bawah ECER di Kampung Tanam bukan sahaja mampu mengangkat Rompin sebagai pengeluar nanas di negeri ini, malah dapat meningkatkan pendapatan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui semasa menyampaikan geran hak milik tanah Rancangan Tanah Kelompok (RTK) Muadzam Shah di Dewan Univerisiti Tenaga Nasional (Uniten), disini.
Maznah yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata projek tanaman nanas berimpak besar yang bakal dilaksanakan bermula pertengahan 2012 itu akan membantu kira-kira 1,000 masyarakat Orang Asli meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Projek ini akan menawarkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada masyarakat Orang Asli, sekaligus mereka dapat menikmati kehidupan lebih baik pada masa akan datang.
“Dengan adanya projek seumpama ini, maka adalah tidak benar masyarakat Orang Asli sering dipinggirkan daripada pembangunan serta tidak diberi peluang menikmati kemajuan seperti kaum lain,” katanya.
Maznah berkata, projek tanaman nanas di kampung itu tidak akan menceroboh kawasan tanah Orang Asli sebaliknya projek itu diusahakan di tanah kerajaan.
“Kita berharap segala apa jua perancangan kerajaan dalam membangunkan komuniti Orang Asli mendapat sokongan masyarakat itu demi kebaikan masa depan mereka,” katanya.