Pahang buka dusun kedua terbesar di Ecer

KUALA LUMPUR 29 April – Pahang akan membuka dusun buah-buahan kedua
terbesar di negara ini selepas Selangor, apabila Taman Pengeluaran Makanan Tetap
Lanchang (PFPP) yang dirancang di bawah wilayah pembangunan Koridor Ekonomi
Pantai Timur (ECER) dijangka menghasilkan 1,501 tan buah-buah setahun.
Projek Lanchang itu akan memberikan kerajaan negeri pendapatan tahunan
sebanyak RM1.55 bilion sebaik ia beroperasi sepenuhnya dalam tempoh dua dekad,
demikian menurut Jabatan Pertanian Pahang.
PFPP merupakan salah satu projek berimpak tinggi ECER untuk menubuhkan dan
membangunkan industri makanan berasaskan buah-buahan di negara ini, yang
bertujuan mempromosi projek pertanian komersial berskala besar membabitkan
pekebun kecil serta sektor swasta.
“Skim Lancang itu membabitkan Malaysian Agrifood Corporation Bhd. (MAFC)
sebagai syarikat peneraju dan akan membabitkan para pekebun kecil di bawah skim
pertanian kontrak,” kata Timbalan Pengarah jabatan itu, Kamariah Ismail dalam satu
kenyataan hari ini.
Kini tujuh orang pekebun kecil di PFPP Lanchang mempunyai kawasan 58.72
hektar, katanya.
Menurutnya, 22 hektar daripada kawasan itu telah ditanam dengan betik oleh MAFC,
12.57 hektar pisang dan 23.7 hektar buah nangka oleh para pekebun kecil.
Kamariah berkata, dua buah syarikat lagi, Felda Herba Corporation dan Gold Star
Sdn. Bhd, juga dijangka mengambil bahagian sebagai syarikat peneraju dalam
projek itu.
Di bawah PFPP Lanchang itu, Jabatan Pertanian telah diperuntukkan 3,600 hektar
tanah bagi pembangunan kebun buah-buahan komersial, dengan 3,200 hektar
daripadanya diperuntukkan bagi sektor swasta, manakala baki 400 hektar
diperuntukkan bagi program PFPP.
Pelan induk ECER itu mencadangkan 2,000 hektar diperuntukkan bagi penanaman
betik, 1,000 hektar bagi buah naga dan baki 600 hektar bagi jambu batu dan buah
belimbing, kata Kamariah.
Di bawah program PFPP itu, kerajaan negeri akan memajak tanah itu kepada setiap
pekebun kecil atau syarikat swasta pada kadar RM100 setahun bagi setiap 0.4
hektar tanah bagi tempoh 30 tahun, katanya.PFPP Lanchang itu dijangka menarik penyertaan 43 orang pekebun kecil dengan
setiap seorang akan diberi lapan hektar tanah, yang bakal memberikan mereka
pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.
Projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) fasa pertama yang meliputi 80
hektar telah disiapkan dengan pembangunan kemudahan asas seperti jalan, sistem
pengairan dan pam air serta perparitan, kata Kamariah.
“Kerja-kerja bagi fasa kedua telah bermula di kawasan 160 hektar dan dijangka
disiapkan menjelang pertengahan tahun depan,” katanya.
Projek Lanchang yang bermula pada tahun 2006 itu merupakan salah satu daripada
11 program PFPP yang sama bagi pelaksanaan di Pahang yang secara kolektifnya
membabitkan kawasan 1,281.5 hektar.
Kini, pelaksanaan program itu membabitkan 107 orang peserta bagi kawasan 821.7
hektar dan ia berjaya mengeluarkan 819.8 tan metrik buah-buahan bernilai lebih
RM1.8 juta.
– Bernama