Pelancongan pendidikan perlu unik, menarik

Oleh WAN MAJID WAN MANSOR
ASPEK pendidikan dan ilmu pengetahuan sesungguhnya diberi penekanan dalam
pembangunan negara termasuk di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Di samping ketiga-tiga negeri Pantai Timur mempunyai Universiti Malaysianya sendiri,
kerajaan negeri perlu mengambil satu langkah ke hadapan dan mencanangkan visi
masing-masing untuk mengangkat bidang pendidikan tinggi ke tahap yang lebih tinggi
dan bertaraf dunia.
Ini kerana tidak cukup sekadar usaha mendirikan universiti dengan kemudahan moden
atau membawa institusi menara gading ke kawasan yang kurang institusi pendidikan.
Kerajaan negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan juga perlu menyediakan pelan induk
menjadikannya sebagai pusat pelancongan pendidikan.
Selain itu, pusat berkenaan pula perlu memiliki daya tarikan kuat dan keunikan yang
membezakannya dengan pusat pendidikan yang sedia ada di negara ini. Terengganu kini
sedang kiat membina Taman Ilmu di Besut untuk memenuhi keperluan pelajar tempatan
dan luar negara.
Taman Ilmu yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
ketika pelancaran projek pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) pada 29
Oktober lalu adalah inisiatif kerajaan negeri untuk menyediakan pusat ilmu antarabangsa
berkonsepkan kota pendidikan dan pelancongan pendidikan.
Konsep pembangunan Taman Ilmu di kawasan seluas 700 hektar di Besut itu bakal
melonjakkan negeri ini sebagai salah sebuah pusat kecemerlangan ilmu bertaraf
antarabangsa. Tumpuan dalam bidang ini kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Idris Jusoh
adalah selaras dengan slogan Terengganu sebagai Bumi Warisan, Ilmu dan Inovasi.
Apabila siap kelak, Taman Ilmu Terengganu mampu menempatkan 100,000 penghuni
daripada kalangan pelajar, tenaga pengajar, kakitangan penyelidikan dan pembangunan
(R&D) serta pekerja sektor awam dan komersial. 2
Tapak projek Taman Ilmu yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri berdekatan kawasan
pantai akan menukar kawasan itu menjadi bandar universiti bersepadu sepenuhnya.
Kawasan ini akan dikelilingi pusat perangingan ala kampung, hotel bertaraf lima bintang,
taman rekreasi pantai dan bandar pinggir laut.
Suasana ini sesuai untuk manfaat proses pengajaran dan pembelajaran dengan dilengkapi
pemandangan dan tumpuan pelancongan. Sebab itu, pada sesetengah pihak berpendapat
ia seperti konsep universiti terkemuka dan terbaik di dunia, Cambridge dan Oxford di
Britain.
Dengan kehadiran para pensyarah dan pemikir terhebat di universiti berkenaan, di
samping mempunyai muzium, galeri, seni bina, taman herba dan botanik serta kawasan
sekitar universiti yang cantik, Cambridge dan Oxford berjaya menarik ramai pelajar dan
pelancong untuk ke sana setiap tahun.
Banyak faedah jika Taman Ilmu Terengganu mampu dijadikan sebagai pusat
pelancongan pendidikan. Antaranya termasuk memberikan dua sumber pendapatan
kepada kerajaan daripada sektor pendidikan dan pelancongan. Kawasan persekitaran
pendidikan yang kondusif juga akan menarik minat lebih ramai pelajar untuk belajar di
sana.
Besut akan menjadi pusat tumpuan bot dan kapal layar dengan pelbagai destinasi pulau
dan pantai. Para pelayar boleh melawat beberapa pulau berhampiran dan pantai yang
menarik.
Pun begitu, perancangan meningkatkan taraf infrastruktur termasuk kemudahan terminal
feri perlu dipercepatkan bagi melonjakkan Besut menjadi pusat pelancongan marina,
sukan air dan menyusuri sungai.
Di samping menjadi pintu masuk pelancong ke Pulau Perhentian, Besut juga menawarkan
pelbagai percutian berasaskan alam semula jadi untuk seisi keluarga. Pantai dan aktiviti
menyelam dan penerokaan gua, meluncur angin Laut China Selatan, mandi-manda di
kolam air panas dan air terjun cukup sesuai untuk pelancong tempatan dan asing ke sana.
Namun, aspek yang tidak patut dipinggirkan ialah mempromosikan budaya dan warisan
tempatan setiap tahun kepada pelajar baru dan ahli keluarga mereka. Dengan cara itu
usaha ini dapat membina rasa cinta para pelajar kepada warisan budaya dan seni bina
tempatan.
Berdasarkan pengalaman universiti yang terkemuka, biasanya bekas-bekas pelajar akan
kembali menziarahi pusat tempat mereka menimba ilmu. Dengan itu, kerajaan akan dapat
kembali pelaburan dalam pelancongan pendidikan berpanjangan apabila setiap tahun ada
bekas pelajar yang datang kembali ke Taman Ilmu untuk mengimbau kenangan lalu
mereka di sini. 3
Banyak negara termasuk anggota ASEAN sudah menerapkan konsep pelancongan
pendidikan dalam pelan pembangunan mereka. Singapura boleh dianggap negara yang
berjaya memanfaatkan konsep ini. Indonesia pula mempromosikan Universiti Perubatan
Udayana di Bali dan menstrukturkan semula bandar Yogyakarta menjadi pusat
pelancongan pendidikan.
Begitu juga Hawaii misalnya yang mempotret wilayah itu sebagai pusat tumpuan warga
China mengikuti latihan bidang perniagaan. Pantai Dendong di Hawaii dikenal pasti
untuk dimajukan sebagai pusat pelancongan pendidikan tersebut.
Kerajaan menyasarkan 100,000 pelajar asing mendapatkan pendidikan di institusi
pengajian tinggi (IPT) di negara ini menjelang 2010 berbanding dengan 50,000 pelajar
sekarang. Jika Malaysia terus menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan lokasi
kampus yang cantik dan menarik, negara kita berpotensi menjadi negara pilihan pelajar
asing.
Pemikiran untuk mengubah Besut menjadi Taman Ilmu dengan konsep pelancongan
pendidikan merupakan cadangan yang boleh direalisasikan semua pihak. Malaysia
memerlukan bukan satu tetapi lebih banyak lagi konsep taman ilmu.