Penduduk miskin perlu manfaatkan ECER

9/29/2009 — Sinar Harian (Pahang)
Penduduk dinasihatkan berusaha lebih gigih untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan bukannya mengharapkan bantuan kerajaan untuk mengubahnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jenderak Datuk Mohamed Jaafar berkata kemiskinan tidak akan berubah jika hanya berpeluk tubuh dan mengharapkan bantuan datang sebaliknya berusaha keras untuk keluar daripada kemiskinan tersebut.
Menurutnya dia mahu penduduk di DUN ini bebas daripada kemiskinan dan menggunakan kemahiran yang dimiliki untuk menambah pendapatan supaya menikmati kehidupan yang lebih baik.
“Penduduk miskin tidak boleh lagi kekal dalam kemiskinan kerana kerajaan melaksanakan Pembangunan Ekonomi Wilayah Timur (ECER) dan peluang ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya kerana ia memberikan banyak faedah kepada penduduk terutama luar bandar.
“Penduduk boleh melaksanakan projek tanaman sayur atau tanaman kontan secara kecil-kecilan dulu dan hasil jualan tanaman itu dijadikan modal untuk meluaskan lagi tanaman. Saya yakin jika ia diusahakan, sedikit demi sedikit pasti membuahkan hasil lumayan,” katanya.