PJ Food Industries (PJ Foods), pengeluar rempah dan perisa akan mengembangkan
perniagaannya ke pasaran Timur Tengah tahun ini selaras dengan usaha di bawah
pelan pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk meningkatkan
pengeluaran makanan halal daripada pengusaha tempatan.
Pengarah Urusannya, Norehan Mohd Nor, berkata pasaran Timur Tengah kini
sedang menunjukkan permintaan yang tinggi untuk produk perasa dan bahan
makanan diproses selain disahkan halal.
Menurutnya, permintaan yang tinggi itu membolehkan pihaknya memperluas sektor
industri rempah dan makanan sedia masak ke pasaran itu.
“Pasaran makanan halal kini semakin mendapat sambutan dan ia menjadi semakin
penting untuk pengeluar makanan tempatan meneroka pasaran baru selain
penggunaan bahan yang disahkan halal.”
“Pengeluar rempah Malaysia perlu meneroka peluang pasaran di rantau itu dan
mencari peluang membina jaringan bekalan mereka di sana,” katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, semalam.
Katanya, walaupun Timur Tengah adalah segmen pasaran baru yang penting untuk
PJ Food Industries dan syarikat berhasrat menjadi satu pembekal rempah dan
perasa halal utama negara.
PJ Foods kini menghasilkan 7 tan tepung ayam goreng, 3 tan tepung perasa
pelbagai guna dan 4 tan pelbagai rempah.
Norehan berkata, lebih 90 peratus pengeluaran semasa adalah untuk pasaran
tempatan sementara selebihnya dieksport ke Brunei.