PM hargai pujian Nik Aziz

8/6/2009 — Berita Harian
DATUK Seri Najib Razak bersyukur dengan pujian Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat terhadap layanan yang diberikannya ketika Menteri Besar Kelantan itu menghadiri pelancaran Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (SEZ-ECER) di Pekan, Pahang, pada Selasa lalu.
Sambil menyatakan penghargaannya terhadap kenyataan Nik Abdul Aziz itu, Najib berkata, beliau melakukannya secara ikhlas atas kedudukan sebagai Perdana Menteri Malaysia.
“Ya ke?… Alhamdulillah. Saya adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dan saya nak berlaku adil kepada semua rakyat. Saya amat menghargai komen Datuk Nik Aziz dan saya menghargai kesudian beliau mengikuti program sepanjang jalan di Pekan.
“Bagi saya, ini menunjukkan beliau juga ingin menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan Pusat,” katanya ketika diminta mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz itu.
Beliau berkata demikian pada sidang media pada akhir lawatan tiga harinya sempena Rundingan Tahunan Malaysia-Brunei ke-13 di Istana Darut Taqwa, di sini semalam.
Akhbar semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang memuji layanan luar biasa Perdana Menteri sepanjang lawatannya itu.
Mursyidul Am Pas itu berkata, penghormatan yang tidak pernah ditunjukkan Perdana Menteri sebelum ini dilihat sungguh cantik, di samping senyuman pemimpin Kerajaan Pusat serta kehebatan kawasan berkenaan yang tiada tolak bandingnya.
Ditanya sama ada keterbukaan Nik Aziz itu akan membuka lembaran baru di antara Kerajaan Pas Kelantan dengan Kerajaan Pusat, Najib berkata, hubungan peringkat Persekutuan dengan kerajaan negeri yang dikuasai pembangkang perlu dibangunkan berlandaskan tahap keserasian.
“Bagaimanapun, tahap keserasian yang tinggi ini tidak boleh berlaku dalam masa singkat. Apa yang penting ialah keikhlasan kita dan sikap saling menghormati kedua-dua pemimpin.
“Inilah yang menjadi hasrat saya dan ini saya lakukan secara ikhlas kerana yang saya pentingkan ialah rakyat kita, rakyat Kelantan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Veena Rusli di Bandar Seri Begawan
bhnews@bharian.com.my