RM300j bangunkan taman industri Tanjung Agas

12/12/2010 — Berita Harian
Taman Industri Minyak, Gas dan Lojistik Tanjung Agas (TIMGLTA), Pekan bakal menerima peruntukan RM300 juta bagi tujuan pembangunan kemudahan infrastruktur dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata suntikan itu bagi mempercepatkan pembangunan sektor minyak dan gas, sekali gus meningkatkan faedah ekonomi kepada rakyat di Pantai Timur.
“Pembinaan taman industri ini adalah langkah penting ke arah memajukan ekonomi negara kerana kedudukannya yang strategik di Pekan yang juga mencakupi dalam koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
“Projek ini juga selaras dengan strategi kerajaan memperluaskan sektor perkhidmatan untuk menjadikannya sebagai penyumbang lebih 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya pada Majlis Pecah Tanah Pangkalan Bekalan Pengguna Bersama (PBPB) oleh Tanjong Agas Oilfieds Supply Services di sini, semalam.
Perasmian itu disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah. Turut hadir Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Tanjung Agas Supply Base & Marine Services Sdn Bhd (TASBMS) dan Pengurus Besar Perhubungan Korporat Oilfields Supply Centre Ltd (OSC), Iqbal Mohammed Abdullah Abedin.
Pangkalan Bekalan Pengguna Bersama di atas tapak 101 hektar itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2013 akan diurus dan dikendalikan Tanjung Agas Oilfields Supply Centre Sdn Bhd (TAOSC), iaitu syarikat usaha sama TASBMS dan OSC.
Terletak di Zon Ekonomi Khas Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER SEZ), pangkalan bekalan itu bakal memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan sokongan bagi aktiviti penerokaan, eksploitasi dan pengeluaran minyak dan gas pesisir Laut China Selatan.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata, TIMGLTA secara langsung menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan dan menyediakan Projek Penggerak Ekonomi di bawah Program Transformasi Ekonomi.
Terdahulu, Iqbal pada sidang medianya berkata, pangkalan bekalan pengguna bersama itu dilengkapi kemudahan serba lengkap dan pelbagai fungsi, meliputi perkhidmatan lapangan minyak, pembuatan dan latihan yang menyeluruh dan bakal menjadi pangkalan bekalan terbaik di rantau Asia Pasifik.
Sementara itu, Pengarah Urusan TASBMS, Mohd Faidzal Ahmad Mahidin, berkata dana RM300 juta itu akan digunakan untuk membangunkan infrastruktur yang menyokong pembangunan di TIMGLTA, termasuk pembinaan jalan raya empat lorong serta kemudahan lain.