Rumah mampu milik ECER

SYARIKAT Perumahan Negara Berhad (SPNB) mensasar membina 10,000 unit rumah kos
rendah dan sederhana menjelang 2010 bagi memenuhi keperluan perumahan di Wilayah
Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Amin Mohd Salleh, berkata SPNB akan membina lebih
banyak rumah mampu milik bagi memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan rendah dan
sederhana melalui skim Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM).
“Seiring dengan objektif perumahan negara, SPNB akan menyediakan rumah berkualiti dan
mampu dimiliki yang cukup untuk rakyat Malaysia, terutama mereka berpendapatan rendah.
“SPNB merancang membina 9,638 unit rumah di ECER di bawah skim RMM untuk tempoh lima
tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, melalui RMM, SPNB akan membina 3,335 unit rumah di Pahang, Terengganu
(3,000) dan Kelantan (3,303).
“Kami yakin skim RMM dan RMR secara tidak langsung memperbaiki kualiti hidup masyarakat
pantai timur serta meningkatkan peluang pekerjaan di wilayah itu.
“Selain menyediakan rumah RMM yang selesa dan praktikal dengan harga berpatutan, panel
bank pembiayaan kami turut menyediakan pakej pinjaman menarik,” katanya.
Beliau berkata, skim RMR pula bertujuan membantu kumpulan berpendapatan rendah seperti
nelayan dan petani bagi memiliki rumah sendiri dengan bayaran bulanan serendah RM150 dan
satu pertiga daripada kos pembangunan antara RM60,000 ke RM70,000 disubsidi tabung khas
Kerajaan Persekutuan.
Skim Jaminan Pinjaman turut disediakan kepada mereka yang tidak mempunyai pendapatan
tetap atau bekerja sendiri.
“Kerja pembinaan 2,349 buah rumah RMM di Pahang dan Kelantan sedang dijalankan manakala
beberapa tapak yang berpotensi dikenal pasti di Terengganu,” katanya.
Sementara itu, Mohd Amin berkata, sehingga kini SPNB menyerahkan 1,846 unit rumah RMR
dan kini dalam proses menyiapkan 848 unit rumah lagi di pantai timur.
Kelantan mencatatkan jumlah rumah RMR tertinggi iaitu 797 unit sementara 400 unit lagi dalam
pembinaan.
Kementerian Kewangan memperuntukkan RM571 juta antara 2001 hingga 2007 kepada SPNB
bagi melaksanakan skim RMR membabitkan pembinaan 11,000 unit rumah di seluruh Malaysia.