Salur RM100 juta di bekas kawasan Dara, LKWJ

3/31/2011 — Utusan Malaysia
Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan, menerusi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), akan memperuntukkan RM100 juta lagi bagi kawasan yang dahulunya di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara (DARA) dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka (LKWJ) untuk 2011-2012.
Perdana Menteri berkata peruntukan itu, yang merangkumi RM30 juta bagi 2011 dan RM70 juta bagi 2012, bakal digunakan untuk projek pembangunan sosio-ekonomi masyarakat setempat, infrastruktur dan penyelenggaraan yang akan memberi manfaat kepada penduduk.
“Mulai tahun ini juga, -projek sedemikian bakal diperluaskan untuk merangkumi kampung tradisional,” katanya di dalam satu kenyataan ECERDC selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC yang pertama bagi 2011.
Penerima manfaat utama peruntukan itu adalah Majlis Daerah bagi kawasan yang terbabit iaitu Maran, Rompin, Pekan, Bera, Jerantut dan Temerloh. Keenam-enam daerah itu memiliki gabungan penduduk sejumlah 659,000 orang.
Pada 2010, ECERDC diamanahkan kerajaan Persekutuan untuk bekerjasama dengan kerajaan Pahang dalam menghidupkan semula pembangunan ekonomi di bekas kawasan DARA dan LKWJ.
DARA dan LKWJ dibubarkan pada 1997 selepas berjaya mencapai matlamat masing-masing dalam menerajui pembangunan daerah berkenaan.