Sinar Harian Online – Gembira dapat kemudahan belajar

TEMERLOH – Seorang murid Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kaung, Lanchang berpeluang cerah untuk cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini selepas terpilih mengikuti program Anak Harapan Temerloh 2016.

Mohammad Rizwan Shamsul Effendy 12, anak ketiga daripada lima beradik ini yang terpilih menyertai program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (Ecer) kini gembira apabila diberi peluang untuk belajar dengan kelengkapan yang disediakan pihak terbabit.

Menurutnya, antara kelengkapan yang diterima ialah meja dan rak buku, katil serta kemudahan di bilik tidur dan bilik ulang kaji yang lebih baik.

“Saya rasa lebih selesa untuk ulang kaji pelajaran dengan kemudahan yang diberikan ini.

“Untuk peperiksaan UPSR sebenar nanti, saya akan lakukan yang terbaik demi masa depan saya dan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Modal Insan (ECERDC) Zulkifli Yaacob berkata, bapa Mohammad Rizwan bekerja sebagai buruh dengan pendapatan tidak menentu sekitar RM500 sebulan dan memikul tanggungjawab membesarkan kesemua empat adik beradiknya yang masih bersekolah selain menjaga anak bongsu yang menghidap asma.

Menurutnya, pada peperiksaan akhir tahun 2015, Mohammad Rizwan memperoleh keputusan 1A 1B 2C dan 2E.

“Pada peperiksaan pertengahan 2016, kedudukannya lebih baik apabila memperoleh 3A 2C 1E dan menjadi pilihan sebagai program Anak Harapan Temerloh 2016 untuk cemerlang dalam UPSR.

“Kini Mohammad Rizwan menjadi calon utama untuk mencapai keputusan cemerlang akademik kalangan keluarga miskin yang akan dilahirkan Empower,” katanya berucap pada program Anak Harapan Empower Temerloh dan Majlis Berbuka Puasa di pekarangan rumah keluarga Mohammad Rizwan di Kampung Dala, di sini.

Program dirasmikan Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dan turut dihadiri Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Temerloh, Borhan Mat Taib.

Zulkifli berkata, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya melahirkan lebih 50,000 usahawan baharu melalui program latihan kemahiran dan keusahawanan serta latihan akademik fasa pertama sejak ditubuhkan pada 2010 sehingga Jun tahun ini.

Menurutnya, inisiatif serampang dua mata di bawah program pembangunan modal insan dan keusahawanan itu menyasarkan golongan berpendapatan rendah dibantu menjadi usahawan dan individu cemerlang akademik.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/pahang/gembira-dapat-kemudahan-belajar-1.533421