Sinar Harian (Online) – Rehat minda lepasan UPSR

KOTA BHARU – Memilih untuk membolehkan murid lepasan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bersantai selepas menempuh peperiksaan, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) memberi pendedahan  menerusi program motivasi, penjagaan sahsiah diri dan pembangunan insan.

Ketua Projek Empower ECER, Prof Rosdi Ab Rahman berkata, pihaknya yakin usaha berkenaan mampu mempertingkatkan prestasi dalam pembelajaran pada masa hadapan terutama apabila berada di sekolah menengah kelak.

“Kem Rehat Minda UPSR ini dianjurkan untuk memberi pendedahan terutama mengenai sahsiah diri dan motivasi menerusi melalui Institut Penyelidik dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK) 2016.

“Uniknya program ini kerana ia melibatkan pelbagai agensi dalam memperkasakan modal insan pada masa hadapan,” katanya selepas Program Rehat Minda Perdana UPSR di sini.

Pada program itu, seramai 558 murid di bawah program Empower ECER dari beberapa sekolah rendah di kawasan Ketereh, Bachok, Jeli dan Gua Musang mengikuti program berkenaan yang dianjurkan Empower ECER Latihan Akademik.

Menariknya, kata Rosdi, fasilitator yang terlibat dalam program itu terdiri daripada pelajar universiti awam, penceramah jemputan dan badan berkanun yang bergiat aktif di Kelantan.

“ECER memilih dua resort iaitu PCB Resort, Kota Bharu dan Dee Wana Resort, Tok Bali sebagai lokasi perhimpunan lepasan UPSR pada tahun ini.

“Program ini mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/rehat-minda-lepasan-upsr-1.568121