2/25/2009 — Berita Harian
Di sebalik kegawatan ekonomi global yang turut melanda negara, projek pembangunan koridor wilayah tetap diteruskan, seperti dirancang kerana ia dijangka boleh membantu menggerakkan kegiatan ekonomi.
Misalnya, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) kini mempergiatkan usaha meneruskan segala projek dirancang, selepas pembukaan pejabat majlis pembangunan Ecer di Kuantan, Isnin lalu.
Ketua Eksekutif ECER, Datuk Jebasingam Issace John memberi jaminan di sebalik kelembapan ekonomi dan persekitaran politik, kerajaan terus komited dalam usaha untuk membawa pembangunan kepada wilayah Pantai Timur.
Katanya, Kuantan, sebagai contoh, mampu menjadi pintu masuk rantau Asia Pasifik dalam pelbagai sektor selain hab logistik dan marin utama di barat dan selatan Semenanjung.
“Negeri itu bakal menjadi hab pengeluaran, pembuatan, pemasangan dan pengedaran automotif dan juga pusat pembangunan reka bentuk automotif, dengan sokongan institusi pendidikan.
“Penubuhan pejabat itu menunjukkan kehadiran Ecer secara menonjol di Pahang untuk mempromosikan projek Ecer, mewujudkan kesedaran tinggi, menghulur bantuan, mengawal selia serta menyediakan maklumat mengenai semua projek Ecer kepada penduduk Pahang.
“Dengan mengambil langkah mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan dan Pelaksanaan pada peringkat negeri, koordinasi yang lebih baik dapat diwujudkan antara usahawan, peniaga, agensi dan jabatan kerajaan,” katanya.
Penubuhan pejabat majlis itu di Pahang dan pejabat seumpamanya di Kelantan dan Terengganu tepat pada masa sekarang kerana ECER akan mengorak langkah untuk mewujudkan satu pusat sehenti bagi mempercepatkan proses permohonan dan kelulusan pelabur.
Pusat sehenti ini akan menjadi satu medan perhubungan bagi bakal pelabur dengan kewujudan projek Ecer yang sedang dilaksanakan. Laporan menunjukkan pelaburan sektor swasta di dalam ECER sepanjang 2007 sehingga 31 Disember lalu sebanyak RM16.6 bilion, dan RM5.37 bilion adalah berikutan komitmen kerajaan Pahang meliputi gugusan pelancongan, pembuatan dan pertanian.
Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sebanyak 45 projek dikenal pasti di bawah ECER untuk dilaksanakan di Pahang, meliputi 32 projek adalah eksklusif untuk kerajaan negeri, selain 13 projek merentasi sempadan membabitkan kerjasama negeri berjiran.
Sepanjang tahun lalu, sebanyak 24 projek dilaksanakan, 11 lagi bermula pertengahan tahun ini, tujuh sebelum akhir tahun, manakala tiga projek terakhir pula dimulakan tahun depan.
Jebasingam berkata, pusat itu akan memproses dan menyelaraskan permohonan insentif cukai dan insentif tanpa cukai sebelum mendapat kelulusan pada peringkat Kementerian Kewangan; pelaburan bagi projek berimpak tinggi untuk dipertimbangkan Jawatankuasa Kabinet bagi Pelaburan. Sebagai tambahan, lesen pengilangan dan jawatan ekspatriat dalam projek akan diluluskan di dalam ECER.
Katanya, pusat sehenti ini juga akan menyediakan perkhidmatan kaunseling dan nasihat kepada pelabur, mempercepatkan pertumbuhan ekonomi wilayah dengan lebih berkesan, sejajar dengan matlamat yang terkandung di dalam pelan induk ECER.
Taman Pengeluaran Makanan Kekal dilancarkan, pada Januari tahun lalu, berkembang dengan pantas sejak dimulakan. Pada Disember lalu, keseluruhan kawasan seluas 2,396 hektar disediakan untuk projek penanaman komersial yang menarik sebanyak 23 usahawan pertanian dan 27 syarikat komersial. Kira-kira 83.7 peratus daripada keluasan tanah ditawarkan kepada syarikat komersial sudah ditanam dengan buah-buahan.
Pendekatan pembangunan gugusan yang diguna pakai di sini akan menyaksikan kemunculan lain-lain industri sokongan dan mengembangkan sistem serta daya saing rangkaian pembekalan.
Jebasingam berkata, kerajaan Pahang juga memiliki potensi amat besar untuk pembangunan pelancongan, pembuatan, sektor berasaskan sumber seperti petrokimia, berasaskan kayu dan memproses makanan.
Selain itu, persiapan sedang dijalankan untuk membina Pusat Nukleus Ternakan Lembu di Muadzam Shah dan Jerantut yang dijangka siap sebelum hujung tahun ini.
Felda turut membuat pelaburan berganda dalam ladang makanan hab pemasaran dan pusat penyembelihan yang akan merangsang gugusan ternakan dan daging lembu ECER. Felda juga terbabit dalam pelbagai aktiviti hiliran membabitkan penternakan dan daging lembu.
Dua Taman Herba dikenal pasti di Temerloh dan Raub untuk dibangunkan bagi tujuan pengeluaran, pemerosesan dan perusahaan, dengan memberi penekanan kepada pembangunan dan penyelidikan di kawasan seperti teknologi pengeluaran kedua-dua bahan mentah dan produk akhir.
Projek pembangunan di ECER yang lain, iaitu di Kelantan, Terengganu dan Mersing turut dirangka. Di Terengganu, contohnya, Taman Plastik Kertih berjaya menarik komitmen pelaburan sebanyak RM545 juta daripada syarikat pembuatan dalam dan luar negara, termasuk pelaburan berpotensi dalam pembungkusan plastik oleh sebuah syarikat Australia.
Di Mersing akan dibangunkan sebagai pusat tarikan utama pelancongan perairan pantai tanah besar dan kajian kesan alam sekitar bagi projek ini sedang dijalankan.
Projek ECER sebenarnya, bertujuan mewujudkan peluang keusahawanan dan pekerjaan untuk penduduk tempatan. ECER sebagai destinasi yang mampu menarik pelaburan, manakala kerajaan sudah meluluskan pakej insentif menarik, sama ada berbentuk fiskal atau bukan fiskal, selain merancang beberapa misi pemasaran di peringkat domestik dan luar negara untuk mempromosikan pelaburan sektor swasta luar negara.
Di bawah pelan induk ECER, Pahang akan dibangunkan sebagai hab logistik dan perindustrian utama wilayah itu. Ia akan memberi tumpuan yang besar kepada aktiviti pengeluaran hiliran berasaskan kepada sumber seperti industri berasaskan getah, industri berasaskan kayu, makanan halal dan juga industri tidak berasaskan makanan.
Inisiatif bandar Pelabuhan Kuantan akan menyaksikan kemunculan kemudahan pelabuhan sedia ada akan dinaik taraf secara besar-besaran untuk membuka jalan bagi Kuantan menjadi terminal bersepadu dan hab logistik bagi pasaran petrokimia, minyak kelapa sawit, automotif dan kontena, dan juga zon pengeluaran dan perindustrian utama.
Fokus pertanian di Pahang adalah untuk membangunkan dan mempromosikan penanaman nanas yang diintegrasikan kepada ladang kelapa sawit di Rompin, penanaman sayur-sayuran di Kuantan begitu juga Pusat Penyelidikan dan Pembiakan Nukleus di Muadzam Shah.
Oleh Jami’ah Shukri (jamia@bharian.com.my)