KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) — Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) menyasarkan untuk
membina 10,000 buah rumah kos rendah hingga sederhana menjelang 2010 bagi memenuhi
keperluan perumahan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Pengarah urusannya, Datuk Mohd Amin Mohd Salleh, berkata SPNB akan membina lebih banyak
rumah mampu milik bagi menampung keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di
bawah rancangan perumahannya, Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Rumah Mampu Milik (RMM).
“Selaras dengan matlamat perumahan negara, SPNB berhasrat menyediakan rumah berkualiti dan
mampu milik yang mencukupi bagi rakyat Malaysia, khususnya bagi mereka yang berada dalam
golongan berpendapatan rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari Rabu.
Pemohon yang pendapatan isi rumahnya di bawah paras RM1,500 sebulan layak bagi rancangan
RMR manakala di bawah rancangan RMM, permohonan bagi rumah kos rendah hingga sederhana
tertakluk kepada garis panduan yang ditentukan oleh negeri masing-masing.
Kira-kira 52 peratus daripada 48,134 keluarga yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar tinggal di
Pantai Timur dan kira-kira setengah daripada keluarga-keluarga itu berpendapatan kurang daripada
RM1,500 sebulan.
Mohd Amin berkata SPNB merancang untuk membina 9,638 unit rumah di ECER di bawah
rancangan RMM dalam lima tahun akan datang, dan daripada jumlah itu 3,335 rumah akan dibina di
Pahang, 3,000 di Terengganu, dan 3,303 di Kelantan.
“Kami yakin kedua-dua rancangan RMM dan RMR akan, secara tidak langsung, menambah baik
kualiti kehidupan rakyat di Pantai Timur serta menambah pekerjaan di wilayah ini,” katanya.
“Di samping menyediakan rumah RMM yang selesa dan praktikal pada harga yang berpatutan, panel
pembiaya akhir kami juga menawarkan pakej kewangan menarik,” jelasnya.
Rancangan RMR bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan dan petani
memiliki rumah dengan bayaran bulanan serendah RM150. Sepertiga daripada kos pembangunan
sebanyak RM60,000 hingga RM76,000 akan ditanggung dalam bentuk subsidi oleh dana khas
kerajaan persekutuan.
Bagi mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau bekerja sendiri, satu skim jaminan
pinjaman disediakan, kata Mohd Amin.
Beliau berkata pembinaan 2,349 rumah RMM di Pahang dan Kelantan telah pun bermula manakala
tapak-tapak berpotensi bagi pembangunan telah dikenal pasti di Terengganu.
SPNB telah menyerahkan 1,846 rumah RMR dan sedang membina 848 unit lagi di Pantai Timur
dengan Kelantan mencatat bilangan rumah terbesar iaitu 797 unit manakala 400 buah lagi sedang
dibina.
Kementerian Kewangan telah menyediakan pembiayaan berjumlah lebih RM571 juta dari 2001
hingga 2007 kepada SPNB untuk melaksanakan rancangan perumahan RMR bagi 11,000 rumah di
seluruh negara, jelas Mohd Amin.
— BERNAMA