Syor intergrasi ternakan tingkat hasil peladang

Oleh Suffian A Bakar
Disember 27, 2007
CADANGAN mengintegrasikan penternakan di ladang sawit di Wilayah Ekonomi Pantai
Timur (ECER) akan menyediakan peladang dua sumber pendapatan selain mewujudkan
6,000 peluang pekerjaan baru di wilayah itu.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysian (MPOB), Datuk Dr Mohd Basri Wahid,
berkata daripada 6,000 peluang pekerjaan itu, 4,000 pekerjaan dijangka diwujudkan
dalam aktiviti huluan seperti penghasilan kulit, pemprosesan daging, dan pengilangan
makanan ternak.
“Secara amnya, projek itu turut membantu membangunkan industri kecil dan
sederhana, selain meningkatkan pengeluaran daging negara yang ketika ini hanya
menghasilkan 23 peratus permintaan negara.
“Sasaran negara ialah mengembangkan jumlah ternakan kepada 1,49 juta ekor
menjelang 2010,” katanya.
Mohd Basri berkata, menerusi kaedah peladangan itu, pencapaian sasaran itu boleh
dipercepatkan kerana lembu ternakan meragut rumput tanpa memerlukan pembukaan
kawasan baru.
“Kira-kira 100 lembu ternakan dan lima lembu jantan yang diintegrasikan secara
sistematik dalam ladang sawit seluas 400 hektar berpotensi berkembang kepada 263
ekor,” katanya.
Mengikut pakar industri, integrasi adalah alternatif terbaik bagi peladang mendapatkan
pendapatan tambahan, selain memaksimumkan penggunaan kawasan ladang.
Mereka menegaskan, peladang hanya memerlukan pelaburan minimum dalam projek itu
kerana kos secara relatifnya adalah rendah.
Faedah lain termasuk kadar kematian haiwan ternakan di bawah lima peratus,
penyelenggaraan rendah, dan kadar pulangan tinggi antara 20 peratus hingga 45
peratus, dengan pengurangan kos antara 20 peratus hingga 35 peratus.
Rumput yang ada di ladang sawit adalah sesuai, malah memiiki khasiat sama seperti
rumput di ladang komersial.
Penyelidik dan pakar perladangan Mardi, Dr Johari Jiken Abdullah, berkata integrasi
ternakan adalah satu-satunya kaedah yang terbukti menjimatkan kos.
Beliau berkata, kaedah meragut rumput di kawasan terbuka yang diamalkan seperti di
Australia tidak dapat diguna pakai di negara ini kerana ia kurang menjimatkan, selain
mengambil tempoh panjang antara 10 hirigga 15 tahun untuk meraih pulangan.
“Kaedah integrasi penternakan di ladang sawit menggunakan tumbuhan semula jadi
hanya memerlukan kos pengurusan yang minimum.
“Kaedah ini diamalkan secara meluas oleh peladang kecil Felda dan terbukti berjaya,”
katanya.
Johari berkata, rancangan intergrasi ECER yang turut membabitkan sokongan aktiviti
huluan dan hiliran oleh syarikat utama adalah strategi sesuai menuju ke depan.
Sementara itu, Basri berkata, kira-kira 51 peratus daripada 1.08 juta hektar ladang
sawit di wilayah itu, iaitu sekitar 542,000 hektai sesuai bagi integrasi penternakan
ladang sawit.
Sasaran ECER ialah 464,000 hektar membabitkan 13 kawasan di wilayah itu.
Berdasarkan kajian MPOB membabitkan nisbah seekor lembu berbanding empat hektar
ladang, jumlah maksimum lembu yang boleh diintegrasikan dengan ladang sawit dalam
ECER ialah kira-kira 135,500 ekor, katanya sambil menambah ragutan secara kitaran
sistematik adalah penting untuk memanfaatkan kawasan tanpa memberikan kesan
negatif kepada pengeluaran minyak sawit.
“Peladang kecil menyambut baik kaedah ini, seperti ditunjukkan peneroka Felda yang
ketika ini menternak sekitar 168,800 lembu di ladang sawit masing-masing.
“Peladang yang memiliki kurang tiga hektar kawasan perlu bergabung bagi
mendapatkan saiz sesuai yang membolehkan 100 ekor lembu di ternak dalam kawasan
400 hektar” katanya.
— Berita Harian (Ekonomi)