KUALA LUMPUR, 1 April (Bernama) — Taman Plastik Kertih, yang dibangunkan
di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkedudukan baik untuk
menarik lebih banyak pelaburan, kata Persatuan Pengeluar Plastik Malaysia
(MPMA) hari ini.
Presiden MPMA Lim Kok Boon berkata ini ialah karana ia telah ditubuhkan
sebagai taman perindustrian khusus yang pertama dan satu-satunya di negara
ini menumpukan kepada industri plastik.
“Ini bermakna kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri prihatin terhadap
pentingnya industri plastik kepada ekonomi negara dan mengkaji dengan serius
untuk membangunkan seterusnya industri plastik,” katanya dalam satu
kenyataan.
Lim berkata sebuah taman khusus bermakna bahawa kerajaan boleh mengkaji
keperluaan tertentu industri plastik.
Katanya sekurang-kurangnya satu daripada anggota persatuan itu telah membeli
tanah di taman plastik pertama negara itu.
Anggota lain, tambahnya, sedang menunggu pelancaran penuh taman itu
apabila kemudahan infrastruktur didirikan sebelum membuat sebarang komitmen
seterusnya.
Menurut Lim, tarikan utama di taman itu ialah hampirnya kepada kilang
pengeluaran resin di Kertih, Terengganu, dan Kuantan, Pahang.
Resin ialah bahan mentah utama bagi industri plastik dan hampirnya kepada
sumber bekalan menghasilkan penjimatan besar ke atas kos pengangkutan.
Di samping itu, pengeluar plastik boleh memanfaatkan ke atas insentif Koridor
Timur sedia ada untuk mempertingkatkan daya saing mereka, kata Lim.
“Peluang utama yang dilihat pengeluar plastik ialah menggunakan taman itu
sebagai hab pengeluaran produk plastik bertujuan untuk eksport. Di samping
adanya resin, kos tanah yang menarik itu akan menjadikan pengeluar plastik kita
malah lebih kompetitif,” katanya.”Kos tanah di taman itu ialah kira-kira RM5 sekaki persegi yang merupakan
beberapa kali ganda lebih rendah apabila dibandingkan dengan kos tanah di
antara RM20 dan RM60 di negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang,”
katanya.
Lim berkata jika taman itu boleh dibangunkan menjadi lokasi menarik bagi
pelaburan, ia akan menggalakkan industri plastik di rantau ini dan industri
petrokimia pasti mendapat manfaat darinya disebabkan permintaan lebih tinggi
bagi mendapatkan resin.
Kini lebih daripada 95 peratus daripada syarikat pengeluaran plastik terletak di
luar Pantai Timur.
Sementara itu, pakar industri berkata penubuhan taman plastik akan menambah
nilai selanjutnya dan meluaskan rantaian nilai minyak, gas dan petrokimia,
melalui pengeluaran produk plastik hiliran dan integrasi dengan kilang berkaitan
dan perkhidmatan di dalam Kompleks Industri Petroleum Petronas sedia ada.
Pelabur di taman itu akan dapat meraih ekonomi bidangan dan penjimatan kos
langsung melalui usaha menerokai sinergi operasi dan infrastruktur di tapak itu
dan memperolehi bakalan bahan mentah “tepat masanya”, kata mereka.
Adalah difahamkan bahawa pembangunan taman itu akan juga disokong oleh
input penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkelas dunia dari Pusat Teknologi
Polimer Petronas.
Pusat itu bertujuan merangsang pertumbuhan dan daya saing global industri
plastik di Taman Plastik Kertih dengan menjalankan R&D bagi aplikasi plastik,
projek usaha sama dengan pengeluar dan pengguna akhir, dan menawarkan
perkhidmatan teknikal termasuk ujian produk, pembangunan teknologi dan
latihan.