Taman plastik Kertih tarik pelaburan dalam ECER

KUALA LUMPUR 1 April – Taman Plastik Kertih yang dibangunkan di bawah
Wilayah Pembangunan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), berkedudukan
baik untuk menarik lebih banyak pelaburan, kata Persatuan Pengeluar Plastik
Malaysia (MPMA), hari ini.
Presiden MPMA, Lim Kok Boon berkata, ini kerana ia telah ditubuhkan sebagai
taman perindustrian khusus yang pertama dan satu-satunya di negara ini
menumpukan kepada industri plastik.
“Ini bermakna kedua-dua kerajaan Persekutuan dan negeri prihatin terhadap
pentingnya industri plastik kepada ekonomi negara dan mengkaji dengan serius
untuk membangunkan seterusnya industri plastik,” katanya dalam satu
kenyataan.
Lim berkata, sebuah taman khusus bermakna bahawa kerajaan boleh mengkaji
keperluan tertentu industri plastik.
Katanya, sekurang-kurangnya satu daripada anggota persatuan itu telah
membeli tanah di taman plastik pertama di negara itu.
Anggota lain, tambahnya, sedang menunggu pelancaran penuh taman itu
apabila kemudahan infrastruktur didirikan sebelum membuat sebarang komitmen
seterusnya.
Menurut Lim, tarikan utama di taman itu terletak hampir dengan kilang
pengeluaran resin di Kertih, Terengganu dan Kuantan, Pahang.
Resin ialah bahan mentah utama bagi industri plastik dan kedudukannya yang
hampir dengan sumber bekalan menghasilkan penjimatan besar ke atas kos
pengangkutan.
Di samping itu, pengeluar plastik boleh memanfaatkan ke atas insentif Koridor
Timur sedia ada untuk meningkatkan daya saing mereka, kata Lim.
“Peluang utama yang dilihat pengeluar plastik ialah menggunakan taman itu
sebagai hab pengeluaran produk plastik bertujuan untuk eksport.
‘‘Di samping adanya resin, kos tanah yang menarik itu akan menjadikan
pengeluar plastik kita malah lebih kompetitif.“Kos tanah di taman itu ialah kira-kira RM5 sekaki persegi yang merupakan
beberapa kali ganda lebih rendah dibandingkan dengan kos tanah antara RM20
dan RM60 di negeri seperti Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.
Lim berkata, jika taman itu boleh dibangunkan menjadi lokasi menarik bagi
pelaburan, ia akan menggalakkan industri plastik di rantau ini dan industri
petrokimia pasti mendapat manfaat darinya disebabkan permintaan lebih tinggi
bagi mendapatkan resin.
Kini, lebih 95 peratus daripada syarikat pengeluaran plastik terletak di luar Pantai
Timur.
Sementara itu, pakar industri berkata, penubuhan taman plastik akan menambah
nilai selanjutnya dan meluaskan rantaian nilai minyak, gas dan petrokimia,
melalui pengeluaran produk plastik hiliran dan integrasi dengan kilang berkaitan
dan perkhidmatan di dalam Kompleks Industri Petroleum Petronas sedia ada.
Pelabur di taman itu akan dapat meraih ekonomi bidangan dan penjimatan kos
langsung melalui usaha menerokai sinergi operasi dan infrastruktur di tapak itu
dan memperolehi bekalan bahan mentah “tepat pada masanya,” kata mereka.