11/2/2010 — Sinar Harian (Pahang)
Projek tanaman nanas Kampung Tanam di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mampu meningkatkan ekonomi penduduk Orang Asli di empat kampung di Rompin.
Ahli Pariimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata, projek tanaman nanas seluas 2,000 hektar itu membabitkan empat kampung Orang Asli iaitu di Kampung Tanam Jemeras Jemeri dan Petoh.
Menurutnya, projek itu sekali gus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli selain membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk di kawasan itu.
“Projek ini memberi impak besar kepada Orang Asli kerana ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk meningkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media seiepas melakukan lawatan bersama pegawai ECER di Kampung Tanam serta meninjau projek ekonomi Orang Asli, di sini, semalam.
Jamaluddin yang juga Duta Besar Malaysia Ke Amerika Syarikat (AS) berkata, kemasukan ekonomi ke kawasan itu dapat meningkatkan prasarana penduduk setempat.
Menurutnya, sesuatu program yang dirancang kerajaan termasuk projek pembangunan ECER di kawasan penduduk adalah demi kepentingan rakyat dan ia memerlukan pembabitan seluruh masyarakat.
“Kita yakin bahawa lebih banyak peluang ekonomi yang boleh dinikmati penduduk seiepas projek tanaman nanas ini dijalankan termasuk memberi keutamaan kepada Orang Asli dalam peluang pekerjaan,” katanya.
Ditanya adakah projek yang akan dilaksanakan itu termasuk dalam tanah rizab milik penduduk kampung di situ, Jamaluddin menafikan perkara itu kerana projek tanaman itu diluluskan Kerajaan Negeri.
“Kawasan projek tidak termasuk dalam kawasan rizab Orang Asli dan ia sebenarnya mendapat kelulusan daripada Kerajaan Negeri untuk dilaksanakan dalam masa terdekat,” katanya.