Tempat pelajar IPT jalani latihan terhad

3/21/2010 — Berita Harian

Kerajaan mengakui jumlah pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang meningkat setiap tahun bagi menjalani latihan praktikal menyebabkan sektor industri di negara ini, tidak dapat menampung atau menyediakan tempat untuk golongan itu menimba pengetahuan sebelum melangkah ke pasaran pekerjaan.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata perkara itu memerlukan komitmen pelbagai pihak termasuk kerajaan, IPT dan industri untuk bersama mencari jalan penyelesaian mengatasi masalah itu.
“Pihak industri memang memberi sokongan tetapi antara masalah dihadapi ialah bilangan pelajar yang ramai (untuk menjalani latihan praktikal) dan harapan tinggi universiti, tetapi syarikat tidak dapat memberi tempat sepenuhnya kepada mereka.
“Itu antara masalah dihadapi mereka (pihak industri) yang menyokong program ini tetapi cuma tempat tidak mencukupi untuk pelajar dan kita akan cuba kurangkan masalah ini,” katanya selepas Majlis Perasmian Konvensyen Keusahawanan 2010 Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) – Kementerian Pengajian Tinggi – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di sini, semalam.