KUALA TERENGGANU 21 Mac – Terengganu sedang melaksanakan pelbagai aktiviti
pelancongan bagi mencapai sasaran menarik kedatangan lebih 3.5 juta pelancong ini sempena
Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2008.
Ketua Sekretariat TMT 2008, Tengku Mohd. Ariffin Tengku A. Rahman berkata, sebanyak 25
acara telah dirancang di seluruh Terengganu sepanjang tahun ini termasuk Kejohanan Kapal
Layar Piala Monsun.
”Kesemua acara tersebut diharap akan membantu meningkatkan kehadiran pelancong ke
negeri ini dengan kedatangan pelancong seramai 2.8 juta tahun lalu telah menyumbang
pendapatan sebanyak RM1.47 bilion,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini
hari ini.
Beliau berkata, penganjuran Kejohanan Kuda Lasak Dunia FEI 2008 di Lembah Bidong, Setiu
yang melibatkan peserta-peserta luar negara juga dijangka menarik kedatangan pelancong
asing ke negeri ini.
Menurutnya, acara lain yang turut akan diadakan ialah Perlumbaan Motosikal Lasak Kenyir,
Festival Gitar Tong Malaysia 2008, Festival Wau Antarabangsa dan Fiesta Mencandat Sotong
Antarabangsa.
”Turut akan diadakan ialah Karnival Citarasa Terengganu, Festival dan Simposium Gamelan
Sedunia 2008, Festival Songket, Batik dan Kraf Malaysia serta Sukan Malaysia (Sukma) 2008,”
katanya.
Beliau menambah, negeri ini juga mempunyai banyak destinasi pelancongan termasuk Masjid
Kristal dan Taman Tamadun Islam (TTI) yang mempunyai 21 replika dan monumen bersejarah
di seluruh dunia yang akan menarik kehadiran pelancong ke Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Hotel Malaysia, Raja Kamarul Bahrin Shah Raja
Ahmad memberitahu, keunikan negeri ini yang paling utama dalam menarik kedatangan
pelancong terletak pada keindahan alam semulajadinya.
”Terengganu patut mengekalkan apa yang sudah dilakukan sehingga kini kerana keindahan
alam semula jadi merupakan aset negeri ini,” katanya.