Timur: Keledek vitato berpotensi ganti tanaman tembakau

Berita Harian, Timur; June 25, 2008
Penanaman secara komersial mampu bantu atasi masalah kemiskinan
penduduk beberapa kawasan dalam ECER
KOTA BHARU: Penanaman keledek spesies vitato, membabitkan
kawasan seluas 200 hektar di Terengganu dan Kelantan, dijangka
membantu meningkatkan pengeluaran bahan makanan dalam Wilayah
Ekonomi Pantai Timur (ECER), seterusnya mengurangkan import
negara.
Menerusi pelaburan RM1.23 juta, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP)
sudah membangunkan kawasan vitato terbabit di Setiu dan Besut
Terengganu dan Bachok, Kelantan.
Menerusi ECER, kawasan tanaman kontan itu dirancang untuk ditingkatkan hingga mencapai 1,000 hektar,
kerana potensinya mampu membantu usaha membasmi kemiskinan yang tinggi di kawasan yang dikenal pasti
itu.
LPP berkata, ketika ini seramai 99 petani menyertai usaha penanaman keledek Vitato itu di bawah pengurusan
Persatuan Peladang Kawasan (PPK) dan tanaman seluas 200 hektar itu dijangka mengeluarkan hasil antara
2,400 hingga 4,000 tan tempoh tiga atau empat bulan lagi.
“Setakat ini di Terengganu, lebih 120 tan keledek vitato dituai dan jumlah itu dijangka meningkat dua kali ganda
apabila kawasan tanaman di Kampung Gong Machang dituai mulai Ogos ini,” kata agensi itu menerusi
kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat ECER, semalam.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed, berkata kementeriannya menggalakkan
penanaman keledek vitato dalam usaha menjadikannya sebagai sumber makanan utama rakyat Malaysia selain
nasi.
Beliau berkata, kajian Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menunjukkan keledek
Vitato juga berpotensi menggantikan tembakau yang menjadi tanaman utama di sekitar Bachok dan Terengganu.
Beliau turut menggalakkan penanaman keledek vitato yang mudah dijaga serta boleh diproses menjadi tepung
ubi dengan hanya membabitkan kos 80 sen sekilogram, berbanding RM3.70 kos untuk menghasil tepung beras.
Bagi menyokong usaha itu, Kerajaan Terengganu meluluskan peruntukan RM1.5 juta bagi membina kilang memproses keledek itu di Kampung Gong Machang, Besut, bagi memproses keledek vitato yang ditanam dari
empat kawasan yang sudah diluluskan di negeri itu.
LPP juga melantik Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Persatuan Peladang Kebangsaan
(Nafas) sebagai agensi bertanggungjawab memasarkan hasil keledek vitato ke seluruh negara.
Pengarah Jabatan Hasil Segar Fama, Rohizad Ridzwan, berkata dalam usaha memperkenalkan keledek vitato
kepada pengguna, Fama kini menjalankan promosi keledek vitato yang dijual pada harga RM1 sekilogram
menerusi 12 pasar tani sekitar Lembah Klang serta masing-masing dua pasar tani di Johor dan Pulau Pinang.
“Fama turut bekerjasama dengan Pasar Raya Giant untuk memasarkan produk berasaskan keledek vitato
menerusi 10 cawangannya di Lembah Kelang serta dua di Pulau Pinang,” katanya.