Oleh Suhana Roslan
Januari 16, 2008
KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mensasarkan sektor pelancongan akan
menyumbang lebih RM2 bilion atau peningkatan 25 peratus kepada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) Terengganu, menjelang akhir tahun ini.
Ini berikutan pelbagai aktiviti yang diatur sempena Tahun Melawat Terengganu (TMT)
2008.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri dan Pelancongan negeri, Datuk
Mohamed Awang Tera, berkata pihaknya mensasarkan peningkatan pelancong kepada
3.5 juta tahun ini berbanding 2.8 juta tahun lalu dengan sumbangan sebanyak RM1.6
bilion.
Beliau berkata, sempena TMT 2008, lebih 25 acara besar akan berlangsung di beberapa
tempat menarik di negeri ini sekali gus mampu menarik kedatangan pelancong dari
dalam dan luar negara.
“Pembukaan acara sempena TMT adalah Kenyir Motocross Championship 2008 yang
akan berlangsung di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir, dekat sini selama dua hari pada 23
Februari depan.
“Lokasi yang dipilih juga memainkan peranan untuk memperkenalkan produk
pelancongan Terengganu seperti Tasik Kenyir iaitu tasik buatan manusia terbesar di Asia
Tenggara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sidang akhbar selepas merasmikan Kalendar Acara
TMT 2008 dan majlis sepetang bersama penggiat industri pelancongan serta media di
Primula Beach Resort, di sini, kelmarin.
Mohamed berkata, kerajaan negeri sudah membelanjakan sebanyak RM10 bilion untuk
membina dan membangunkan kemudahan infrastruktur dalam usaha memastikan
pelancong yang berkunjung ke negeri ini mendapat manfaat daripada pembangunan.
Antaranya, pelebaran jalan utama dan pembinaan Lapangan Terbang Sultan Mahmud
selain memperindahkan landskap taman di pusat bandar raya.
“Pelantikan tiga syarikat perunding membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta pada
tahun lalu untuk mempromosikan Terengganu adalah sebahagian agenda usaha menarik
pelancong.
“Pelaburan besar itu sedikit sebanyak membantu menambah bilangan kemasukan
pelancong kerana kita menerima maklum balas positif daripada pelancong yang
mendapatkan maklumat mengenai tempat menarik di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan memperuntukkan antara RM6 dan RM7 juta untuk
mempromosikan Terengganu dan penganjuran acara seperti yang terkandung dalam
kalendar tahunan pelancongan yang sudah diedarkan.
“Acara yang dijangkakan menarik pelancong adalah Sukan Malaysia (Sukma) 2008, Piala
Monsun 2008, Perhentian Island Challenge, FEI World Endurance Championship dan
Kapas-Marang International Swimathon 2008.
“Acara kebudayaan juga dijangka mendapat sambutan pelancong seperti Simposium dan
Festival Gamelan Dunia serta Festival Songket, Batik & Kraf Malaysia pada Ogos depan,”
katanya.
FAKTA NOMBOR: Sektor pelancongan Terengganu
• 25 – Peratus peningkatan KDNK negeri
• 25 – Acara besar sepanjang tahun.
— Berita Harian