12/12/2012 — Utusan Malaysia
KUANTAN 11 Dis. – Seramai 21 murid cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dari kalangan peserta Program Sinar ECER dan Empower ECER Mahkota diraikan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam satu majlis yang diadakan di UMP kampus Gambang, di sini baru-baru ini.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, sebanyak empat sekolah menerima manfaat hasil pelaksanaan inisiatif UMP dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu.
“Ia melibatkan dua inisiatif iaitu Program Sinar ECER yang memfokuskan Sekolah Kebangsaan (SK) Lepar dan SK Runchang manakala Program Empower ECER Mahkota Kuala Pahang dilaksanakan mulai tahun ini melibatkan SK Indera Shahbandar dan SK Serandu di Pekan,” katanya di sini.
Pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Ishak Muhamad menyampaikan hadiah kepada murid cemerlang tersebut. Yang turut hadir, Pengurus Besar Bahagian Sosial ECERDC, Zulkifli Yaakob.
Setiap murid yang mendapat 5A menerima sumbangan RM150 manakala keputusan 4A pula (RM100) dan 3A sebanyak RM70 yang disumbangkan oleh Persatuan Wanita UMP (Matahari).
Menurut Daing Nasir, mereka terdiri daripada lapan murid yang memperoleh 5A, 12 murid (4A 1B) manakala seorang murid Orang Asli berjaya memperoleh 3A 2B.
“Penglibatan UMP dan ECERDC melalui inisiatif ini adalah bersifat sokongan kepada usaha yang telah digerakkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah Pekan dan sekolah-sekolah terlibat,” jelasnya.
Menurut Daing Nasir, perkembangan positif itu merupakan isyarat keprihatinan dan kepekaan kerajaan terhadap kepentingan pembangunan prestasi akademik khususnya dalam kalangan kanak-kanak di Pekan.
Katanya, UMP menghargai usaha ECERDC kerana bekerjasama dengan universiti ini sebagai rakan strategik bagi pembangunan sosial di kawasan ini khususnya dalam pembangunan pendidikan.