11/3/2009 — Utusan Malaysia
Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi meningkatkan lagi penyelidikan dalam bidang biojisim.
Kerjasama membabitkan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP itu merangkumi penggunaan biojisim untuk pembangunan teknologi dan produk bernilai tambah terutama biotenaga dan biokomposit.
Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, kerjasama itu meliputi pelbagai aspek penyelidikan termasuk penggunaan semula sisa perindustrian, pertanian dan perhutanan bagi penghasilan tenaga alternatif demi memelihara alam sekitar melalui teknologi terkini.
”Selain bidang penyelidikan, kedua-dua pihak berpeluang meningkatkan teknologi, membangunkan modal insan dan berkongsi pengetahuan selain mengkomersialkan produk,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kerjasama itu dicapai menerusi perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UMP dengan FRIM di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis itu, UMP diwakili Daing Nasir, manakala FRIM diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Abdul Latif Mohmod.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Zoal Azha Yusof.
MoU itu diadakan sempena seminar Biomass dan produk nilai tambah 2009 anjuran bersama UMP dan FRIM.
Seramai 130 peserta daripada 21 syarikat swasta, 13 agensi kerajaan dan 15 universiti hadir pada seminar tersebut.
Daing Nasir memberitahu, kerjasama itu adalah relevan kerana UMP mempunyai kepakaran dalam bidang biojisim.
FRIM juga jelasnya, menjalankan penyelidikan dalam bidang bioteknologi berkaitan pemprosesan dan penghasilan produk berasaskan biojisim.
”Melalui pelan koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), UMP dijadikan pusat kecemerlangan dalam bidang biodegradasi.
”Dengan kepakaran dan sumber yang dimiliki kedua-dua pihak, kita yakin jalinan kerjasama yang kukuh dapat dijalinkan,” jelasnya.
Mengulas seminar itu, kata Daing Nasir, ia bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai potensi penggunaan biomass dan menyediakan forum untuk membincangkan isu-isu berkaitan serta berkongsi penemuan-penemuan penyelidikan terkini dengan sektor swasta, industri, penggubal polisi dan penyelidik.