KUANTAN 2 Mac – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memperoleh pelaburan sebanyak RM5 bilion bagi membangunkan tujuh projek membabitkan sektor pembuatan, minyak dan gas serta pelancongan sepanjang 2016 di negeri ini
Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, Pahang mendahului negeri-negeri di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dengan jumlah pelaburan terkumpul bernilai RM43.2 bilion sejak 2007 hingga Januari tahun ini.
“Ini dijangka membuka sebanyak 43,875 peluang pekerjaan terutama kepada penduduk di persekitaran.
“Limpahan pelaburan di negeri ini dikaitkan dengan kewujudan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia -China (MCKIP) dan perluasan Pelabuhan Kuantan yang merupakan projek penentu kejayaan,” kata beliau.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC ECER) negeri di sini semalam.
Yang turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John dan Naib Canselor, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim.
Pada majlis tersebut, Adnan turut menyampaikan sijil kecemerlangan kepada tiga pelajar Orang Asli yang berjaya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015 melalui Program Pendidikan Khas Orang Asli.
Menurut Adnan, China merupakan pelabur asing terbesar di dalam ECER dengan syarikat dari negara berkenaan iaitu Alliance Steel Sdn. Bhd. melabur sebanyak RM5.6 bilion.
“ECERDC juga akan memulakan misi dagangan untuk menarik pelabur luar seperti Jepun, Korea Selatan dan China pada tahun ini.
“Saya amat berpuas hati dengan pencapaian dan usaha ECERDC dalam meningkatkan kualiti hidup dengan membuka peluang pekerjaan di negeri ini. Pencapaian mereka berada pada tahap yang memuaskan,” jelasnya.