Utusan Online – Impian miliki premis niaga tercapai

TEMERLOH 4 Ogos – Sejak 12 tahun lalu, Noressah Mohd. Kassim, 48, yang sering kelihatan menjual keropok lekor di pasar-pasar malam dan pekan sehari di sekitar daerah ini memasang impian untuk memiliki sebuah premis perniagaan sendiri.

Impian Noressah bukan mudah dicapai memandangkan ia memerlukan kos agak besar sedangkan pendapatannya menjual keropok lekor secara kecil-kecilan bersama suaminya, Husin Abidin, 51, adalah tidak menentu.

Namun impian Noressah akhir­nya menjadi kenyataan mene­rusi perasmian kedai Nur Kero­pok Lekor yang disempurnakan oleh Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali di sini hari ini selepas menjadi peserta program Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tahun lalu.

Menurut Noressah, bantuan me­nerusi program Empower ECER bukan sahaja memboleh­kannya memiliki sebuah premis perniagaan di kawasan strategik di tengah bandar ini tetapi ber­upaya meningkatkan pendapatannya yang kini melebihi RM1,500 sebulan.

“Saya berterima kasih kepada Empower ECER yang banyak membantu dengan memberi pelbagai ilmu pengetahuan dalam meguruskan perniagaan selain membantu saya memiliki kedai ini.

“Saya bangga dan bertambah yakin untuk berniaga serta mengembangkan lagi perniagaan dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian kedainya itu di Kompleks Ikan Patin Bandar Temerloh di sini.

Noressah berkata, sejak me­ngikuti kursus pada tahun lalu, perniagaannya semakin berkembang dengan bantuan dan khidmat nasihat oleh kakitangan Empower ECER.

Pada masa ini, katanya, pasaran keropok lekornya bukan sahaja mendapat permintaan daripada masyarakat sekitar tetapi luar daerah ini.

Sementara itu, Mohd. Fadzli berkata, kejayaan Noressah yang bermula dengan perniagaan ke­cil-kecilan perlu dijadikan contoh dan pendorong kepada usahawan bumiputera lain untuk ber­jaya.

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/impian-miliki-premis-niaga-tercapai-1.366610

Close Menu