Utusan Online – RM60 juta naik taraf jalan Kampung Kertau–Chenor

MARAN 5 Sept. – Sebanyak RM60 juta diperuntukkan untuk menaik taraf jalan sepanjang 15 kilometer di Kampung Kertau ke Kuala Wau, Chenor Seberang tahun ini berikutan laluan tersebut sempit dan berisiko kepada pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohamed Ariffin Awang Ismail berkata, per­untukan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu akan mewujudkan rangkaian jalan raya yang lebih baik di luar bandar.

Menurutnya, laluan itu merupakan jalan alternatif yang meng­hubungkan Chenor ke Pekan dan pintasan ke lebuh raya Tun Abdul Razak, Muadzam Shah, Segamat dan Johor Bahru.

“Jalan sehala semakin penting dan menjadi pilihan pengguna dari daerah ini dan Temer­loh ke destinasi berkenaan beri­kutan wujudnya Jambatan Chenor bernilai RM110 juta sejak 10 tahun lepas.

“Jalan itu dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun atau pada 2019 akan merancakkan lagi sosioekonomi penduduk sekali gus meningkatkan nilai hartanah di kawasan berkenaan,” kata beliau.

Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Maran berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kedai Peserta Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), di Kampung Jengka Batu 13 di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengurus Bahagian Pembangunan Mo­dal Insan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur ( ECERDC), Benji Johan Ibrahim.

Tambah beliau, menaiktaraf jalan itu sangat relevan dengan kemajuan pesat negara sekali gus memberi impak positif dari segi sektor ekonomi, sosial, politik dan pendidikan di kawasan ini.

“Peningkatan prasarana itu akan menyokong kemajuan ekonomi dan sosial terhadap pembangunan bandar Bandar Baharu Chenor, Pekan Awah dan Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini,” katanya.

Mohamed Ariffin menambah, sebanyak RM2.3 juta juta telah dibelanjakan bagi menaiktaraf jalan Kampung Nyak ke Felda Purun sepanjang 4.5 km sekali gus memberi kemudahan kepada penduduk ke bandar Bera.

Menurutnya, jalan berkenaan siap pada bulan lepas sekali gus memudahkan penduduk dari daerah ini menggunakan laluan itu melalui Jambatan Chenor ke Bera dengan lebih cepat dan menjimatkan masa berbanding jalan Temerloh-Bera.

http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/rm60-juta-naik-taraf-jalan-kampung-kertau-8211-chenor-1.378991

Close Menu