[dynamic_page_shortcordx class="dynamic_page_sidebar" exclude="" aorder="true"]

ECERDC

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ditubuhkan dengan mandat untuk memacu pembangunan sosioekonomi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Matlamat utamanya adalah untuk mencapai pembangunan wilayah yang seimbang, meningkatkan taraf hidup rakyat serta merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Peranan ECERDC adalah untuk mempercepat pelaksanaan projek dan program strategik berimpak tinggi. Usaha ini dilaksanakan dengan melengkapi inisiatif sedia ada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri melalui pendekatan perundingan dan kerjasama strategik, bagi memastikan keperluan semua pihak berkepentingan diambil kira serta keunikan keperluan wilayah dipenuhi. Matlamat akhirnya adalah untuk memastikan semua rakyat dapat menikmati manfaat pertumbuhan ekonomi wilayah, tanpa ada komuniti yang tercicir, khususnya golongan B40, belia, wanita dan masyarakat Orang Asli.

Kemajuan sosioekonomi wilayah ini didorong oleh ekosistem ekonomi yang kukuh berteraskan tiga tunjang utama iaitu pelaburan swasta, pelaksanaan projek serta pembangunan modal insan. Dalam rangka penciptaan nilai menyeluruh ini, ECERDC memainkan pelbagai peranan sebagai pemudah cara strategik utama yang menggerakkan kemajuan dan pembangunan wilayah.

Peranan dan tanggungjawab ECERDC dalam membangunkan wilayah ini diperuntukkan di bawah Akta 688, yang menetapkan kerangka penyelarasan antara ECERDC dan agensi Kerajaan dalam perkara berkaitan aktiviti pembangunan sosioekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Klik di bawah untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ECERDC serta peranan dan tanggungjawabnya.