YAB Dato’ Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi (kini Tun), Perdana Menteri Malaysia ke-5 memukul rebana ubi sebagai simbolik pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) disaksikan oleh YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, YBhg. Tan Sri Mohd Effendi bin Norwawi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg. Tan Sri Mohd Hassan bin Marican, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS ketika itu pada 29 Oktober 2007 di Kota Bharu, Kelantan.
Masjid Kampung Laut yang bersejarah kini terletak di Laman Warisan Seni Kampung Laut yang merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Semula Kampung Laut oleh ECERDC. Projek ini merangkumi pembinaan Laman Warisan Seni, Laman Warisan Serunding serta pemindahan masjid yang berusia lebih 400 tahun dari Nilam Puri kembali ke tempat asalnya di Kampung Laut, Tumpat, Kelantan.
Keunikan Masjid Kampung Laut terletak pada keseluruhan binaan yang terdiri daripada kayu cengal dan tanpa menggunakan sebarang paku, selain kehalusan ukiran yang menjadi tarikan utama kepada pelancong, penyelidik serta pelajar seni bina.
Menara ikonik tertinggi di Pantai Timur dan kedua tertinggi di Malaysia, Menara Kuantan 188 adalah antara destinasi pelancongan baharu yang dibangunkan oleh ECERDC. Reka bentuk menara ini berkonsepkan struktur hujung bilah senjata Melayu lama iaitu tombak seperti terdapat pada Jata Negeri Pahang Darul Makmur. Dedaun dan bunga pokok Teruntum Putih menjadi inspirasi kepada reka bentuk deck tinjau menara. Menara Kuantan 188 kini telah menjadi destinasi pelancongan wajib singgah untuk pelancong yang berkunjung ke Bandaraya Kuantan.
Tanjung Penyabong Waterfront adalah gerbang ke kepulauan di sekitar Mersing, Johor. Kawasan ini telah dibangunkan oleh ECERDC sebagai kawasan rekreasi yang lengkap dengan kemudahan untuk seisi keluarga. Projek ini yang merangkumi penaiktarafan jeti nelayan dan pelancong, medan selera, pusat kraftangan serta kemudahan awam telah memenangi anugerah Silver MyPLACE Award daripada Malaysian Institute of Planners pada tahun 2019.
Jambatan Angkat Kuala Terengganu atau Kuala Terengganu Drawbridge ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ia telah merangkul Anugerah Ikon Pelancongan Baharu Terbaik pada acara Malaysia Tourism Council Gold Award 2019. Jambatan sepanjang 632 meter dan berketinggian 12.5 meter dari aras laut ini menghubungkan Muara Selatan di Pusat Bandar Kuala Terengganu dengan Muara Utara di Seberang Takir. Jambatan angkat ini disokong oleh empat menara setinggi 15 tingkat di bahagian kiri dan kanan jambatan.
YAB Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad bin Yakob, Menteri Besar Kelantan meraikan kejayaan para peserta program empower ECER Latihan Kemahiran dan Keusahawanan dan program empower ECER Akademik di Majlis Konvokesyen dan Anugerah Usahawan empower ECER Kelantan pada 13 Februari 2020 di Bachok, Kelantan. Program ini bukan sahaja telah menaik taraf kehidupan para peserta, malah berjaya meningkatkan prestasi akademik para pelajar dan melahirkan usahawan mikro di Kelantan.
Seramai 297 peserta Projek Agropolitan Pekan di Tanjung Batu, Batu 8 Mukim Lepar dan Runchang di Pahang bergambar kenangan bersama YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang setelah menerima suratan hak milik rumah daripada Menteri Besar Pahang dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang pada 13 Disember 2021.
YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor telah menyerikan Majlis Apresiasi Program Pembangunan Modal Insan ECERDC bersama SIRIM dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang meraikan para peserta empower ECER dan entrepreneur ECER. YAB Menteri Besar Johor juga telah melancarkan Program Yayasan PETRONAS empower ECER Akademik pada 14 Oktober 2022 di Mersing, Johor yang bermatlamat untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar yang menyertai program.
Pusat Penyelidikan dan Inovasi Lembu Muadzam Shah Pahang (MSCRIC) adalah pemangkin bagi pertumbuhan industri lembu tenusu di ECER. Projek ini bukan sahaja telah menerima anugerah Ladang Tenusu Cemerlang di Livestock Asia 2015, tetapi juga telah merubah industri tenusu negara menerusi penghasilan susu segar sebanyak 9.39 juta liter setahun pada tahun 2022 yang dipasarkan di bawah jenama Farm Fresh. MSCRIC juga berjaya menarik pelaburan swasta dan mewujudkan peluang pekerjaan dan peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat, termasuklah dari komuniti Orang Asli tempatan.
Tok Bali telah dikenal pasti sebagai kawasan pertumbuhan baharu di negeri Kelantan. Ia kini sedang dibangunkan untuk menjadi sebuah hab yang dinamik bagi aktiviti perdagangan rentas sempadan menerusi projek berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh ECERDC iaitu Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi pelabuhan Tok Bali.
Di bawah pembangunan Pusat Bandar Kuala Terengganu (Kuala Terengganu City Centre – KTCC), Muara Utara dan Muara Selatan telah dibangunkan untuk meluaskan kawasan pusat perniagaan Kuala Terengganu yang sedia ada dengan menerapkan unsur-unsur kebudayaan, landskap dan seni bina yang unik. Kawasan pertumbuhan ini dibangunkan sebagai kawasan pesisiran air yang dinamik dan berdaya maju selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri yang telah mengisytiharkan Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air.
Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) merupakan taman perindustrian pertama di Malaysia yang dibangunkan secara bersama oleh kedua-dua negara Malaysia dan China. MCKIP berperanan sebagai platform untuk mempromosi perdagangan dua hala antara Malaysia dan China, dan memainkan peranan penting dalam inisiatif ‘Belt and Road’ China.
Pembangunan Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) merupakan salah satu projek strategik dalam kluster pelancongan ECER. Projek ini melibatkan pembangunan sebuah mercu tanda ikonik di Kampung Paya Siput di Temerloh yang bertujuan mempromosikan ‘Bandar Ikan Patin’ sebagai Titik Tengah Semenanjung Malaysia dan destinasi-destinasi pelancongan sedia ada. Matlamat projek ini adalah untuk meningkatkan kedatangan pelancong ke Temerloh dan kawasan persekitarannya, selain mewujudkan kesan pengganda ekonomi dari segi pewujudan peluang- peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu.
Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) dibangunkan untuk menempatkan semula gajah-gajah bagi tujuan pemeliharaan dari kepupusan dan ancaman lain. ECERDC telah meningkatkan lagi potensi PKGK Kuala Gandah sebagai sebuah pusat pemeliharaan hidupan liar dan destinasi ekopelancongan bertaraf dunia dengan menaik taraf fasiliti dan kemudahan pelancong. Pusat ini dibuka kepada pengunjung yang berpeluang bukan sahaja untuk melihat dan mengenali sifat-sifat gajah, malah untuk bersama memahami kepentingan pemeliharaan gajah melalui tayangan dokumentari proses penyelamatan gajah liar dari kawasan konflik ke habitan baru oleh Jabatan PERHILITAN.
YBhg. Dato’ Baidzawi bin Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC bersama barisan Pengurusan Kanan ECERDC pada tahun 2022.
YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke-10 bersama anggota Majlis ECER semasa Mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur bilangan 1/2023 pada 25 Oktober 2023 di Perdana Putra, Putrajaya.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri ke-9 bergambar kenangan di atas tangga Masjid Kampung Laut bersama anggota Majlis ECER selepas selesainya Majlis Perasmian Laman Warisan Kampung Laut pada 9 September 2022 di Tumpat, Kelantan.
Mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur bilangan 1/2020 telah dipengerusikan oleh YAB Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin, Perdana Menteri Malaysia ke-8 pada 9 Julai 2020 di Putrajaya. Mesyuarat ini adalah mesyuarat secara fizikal yang pertama kali diadakan setelah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun 2020 berikutan penurunan ketara kes COVID-19.
YAB Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-7 bergambar kenangan bersama anggota Majlis ECER setelah melancarkan Pelan Induk ECER 2.0 ‘Lonjakan Seterusnya’ dan Coffee Table Book ‘Menyinari Kehidupan empower ECER untuk Kemakmuran Ekonomi’ pada 20 Jun 2019 di Perdana Putra, Putrajaya.
YAB Tun Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-7 bersama anggota Majlis ECER pada 31 Oktober 2018 di Perdana Putra, Putrajaya semasa Mesyuarat Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur bilangan 1/2018.
YAB Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ke-6 melepaskan anak ikan di Tasik Chini sewaktu lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan Tasik Chini (PPTC) yang dibangunkan oleh ECERDC pada 15 Oktober 2016 di Pekan, Pahang.
Tasik Chini diwartakan sebagai Rizab Biosfera pertama di Malaysia pada 26 Mei 2009 di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) UNESCO. Sejak penubuhan PPTC, banyak penyelidikan dan kerja kemasyarakatan telah dilaksanakan bagi mengekalkan integriti ekosistem tasik air tawar yang istimewa ini.
Warga Kerja Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merupakan nadi kepada setiap pelaksanaan projek dan program ECERDC.
KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tekun mendengar penjelasan daripada Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC YBhg. Dato’ Baidzawi bin Che Mat dan Ketua Pegawai Operasi ECERDC, YBhg. Dato’ Ragu Sampasivam mengenai Pembangunan Kuantan Waterfront sewaktu Majlis Perasmian Menara Kuantan 188 pada 21 Februari 2021 di Kuantan, Pahang.
KampungStay@Teluk Buih di Mersing, Johor yang berkonsepkan resort dalam kampung menawarkan pengalaman inap desa dalam suasana kampung kepada para pelancong. Projek ini dibangunkan sebagai pusat aktiviti atau staging base untuk menggalakkan pelancong berinteraksi dengan penduduk tempatan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti pelancongan yang ditawarkan, sekaligus memberi impak positif kepada penduduk setempat menerusi peningkatan peluang pekerjaan dan aktiviti-aktiviti keusahawanan berasaskan pelancongan.
Muzium Sultan Abu Bakar merupakan bangunan yang kaya dengan sejarah. Bangunan ini pernah berfungsi sebagai kediaman Residen British pertama di Pahang, istana rasmi DYMM Almarhum Sultan Abu Bakar, Sultan Pahang keempat dan markas tentera. Pada Oktober 2012, DYMM Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Sultan Pahang kelima secara rasminya telah melancarkan Muzium Sultan Abu Bakar yang diubah suai oleh ECERDC bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Pekan, Pahang.