KOTA BHARU – 14 Jun 2015 – Seramai lebih 1,200 usahawan mikro dan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Bumiputera di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bakal mendapat manfaat dari Dana Pembangunan Usahawan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Kerajaan Persekutuan berjumlah RM15 juta yang disalurkan melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) baru-baru ini.
Dana Pembangunan Usahawan Mikro/IKS Bumiputera ECER tersebut bertujuan membantu golongan tersebut yang kebanyakannya menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank secara konvensional untuk memajukan perniagaan mereka.
Cek dana berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri,YB Senator Dato’ Sri Abdul Wahid Bin Omar kepada Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John, pada Majlis Perasmian Penutupan Program Kerjaya dan Temuduga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M)yang berlangsung di sini hari ini.
Daripada jumlah tersebut, RM10 juta akan diperuntukkan bagi Skim Pembiayaan Kewangan dengan kerjasama Maybank melalui program entrepreneur ECER-Maybank, RM3 juta untuk Program Bantuan Pembelian Peralatan, Kerja Infrastruktur, Pembungkusan dan Modal Kerja, dan RM2 juta untuk Program Pembangunan Usahawan Projek Ladang Pertanian Kontrak, Ladang Satelit dan Projek Penternakan.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, program TERAJU@ECER yang dilaksanakan oleh pihak ECERDC dengan kerjasama TERAJU telah memberi manfaat kepada 123 syarikat Bumiputera di ECERsetakat ini. Mereka terdiri daripada 73 syarikat Bumiputera yang dikenal pasti sebagai Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TERAS) yang telah menerima danaTERAS berjumlah RM72.7 jutasecara keseluruhan, dan 50 syarikat lagi yang telah menerima Dana Mudahcara TERAJU berjumlah RM131 juta dengan jumlah pelaburan keseluruhan sebanyak RM1.03 bilion.
“Program TERAJU@ECER yang dilaksanakan oleh ECERDC adalah selaras dengan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera Kerajaan, dankami amat gembira kerana ia telah berjaya memberi impak positif kepada para usahawan Bumiputera di ECER,” kata Datuk Seri Issace. “Ini adalah sejajar dengan matlamat ECERDC untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk ECER dan memacu transformasi di Wilayah ini, di mana majoriti penduduknya adalah dari kalangan Bumiputera,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, YBhg. Dato’ Husni Salleh berkata: “Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera di ECER terus ditingkatkan. Dana ini akan menggalakkan lebih ramai usahawan mikro dan IKS Bumiputera tempatan untuk mengembangkan perniagaan menerusi sokongan modal kerja, infrastruktur dan kapasiti yang disediakan.”
Pada masa yang sama, inisiatif ini turut dilaksanakan di Sarawak dan di Iskandar Malaysia menerusi kerjasama erat di antara pihak TERAJU dengan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera (UPUB) Jabatan Ketua Menteri Sarawak dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Skim Pembiayaan Kewangan di bawah program entrepreneur ECER-Maybank dijangka akan memberi manfaat kepada 1,000 usahawan mikro di ECER, yang berpeluang menerima bantuan pembiayaan melalui mekanisma “topping up” oleh pihak ECERDC ke atas kadar faedah yang dikenakan, agar kadar bayaran bulanan dapat dikurangkan. Jumlah maksimum pinjaman di bawah skim ini ialah sebanyak RM50,000 bagi setiap usahawan.
Program Bantuan Pembelian Peralatan, Kerja Infrastruktur, Pembungkusan dan Modal Kerja pula terbahagi kepada dua skim: Skim pertama dengan peruntukan sebanyak RM2 juta disasarkan kepada 200 usahawan yang baru memulakan perniagaan dan belum layak mendapat pembiayaan bank, serta usahawan graduan baharu. Skim 2 dengan peruntukan sebanyak RM1 juta pula disasarkan kepada 20 pelabur di kalangan syarikat IKS yang terlibat dengan projek-projek khas di ECER, termasuklah di taman-taman industri di Wilayah tersebut.
Bagi Program Pembangunan Usahawan Projek Ladang Pertanian Kontrak, Ladang Satelit dan Projek Penternakan, seramai 20 pengusaha kontrak/ladang satelit penternakan yang baharu dijangka akan mendapat manfaat, di mana keutamaan akan diberikan kepada mereka yang terlibat di dalam empat projek pertanian dan penternakan sedia ada di ECER.