PUTRAJAYA, 13 Ogos 2015: Penekanan seimbang yang diberikan oleh pihak Kerajaan terhadap pertumbuhan ekonomi berteraskan modal dan ekonomi berteraskan rakyat dalam memacu transformasi sosio-ekonomiWilayah Ekonomi Pantai Timur(ECER) telah menunjukkan kesan positif, seperti yang dapat dilihat melalui peningkatan masuk pelaburan dan pengukuhan modal insan dan usahawan di Wilayah tersebut.
Sejak tahun 2007 sehingga Jun tahun ini, ECER telah berjaya menarik pelaburan dari dalam dan luar negeri berjumlah RM78 bilion, yang merupakan 71% daripada jumlah sasaran pelaburan di ECER menjelang 2020 iaitu sebanyak RM110 bilion. Pelaburan tersebut dijangka akan mewujudkan 76,120 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.
Dari segi sektor, kluster pembuatan merupakan penyumbang terbesar dengan nilai pelaburan bernilai RM44.35 bilion, diikuti oleh sektor pelancongan (RM13.56 bilion), bio-ekonomi (RM5.62 bilion) dan minyak, gas dan petro-kimia (RM4.80 bilion).
Untuk tahun 2015, ECER telah berjaya mencatatkan pelaburan bernilai RM6.3 bilion setakat penghujung bulan Jun tahun ini, atau lebih separuh daripada sasaran pelaburannya untuk 2015 iaitu sebanyak RM12 bilion. Wilayah tersebut kini berada di kedudukan yang kukuh untuk mencapai sasaran pelaburan tersebut menjelang akhir tahun 2015.
Pada Majlis Pengumuman Pelaburan ECER Bagi Suku Kedua Tahun 2015 yang diadakan pada hari ini, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mengumumkan lapan (8) pelaburan baru bernilai RM2.59 bilion di ECER, yang mewakili sebanyak 21.6 peratus daripada jumlah sasaran pelaburan ECER bagi tahun ini. Ia dianggar akan mewujudkan sebanyak 4,832 peluang pekerjaan baharu untuk rakyat.
Majlis tersebut diadakan bersempena Mesyuarat Majlis ECERDC yang kedua bagi tahun 2015, yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, selaku Pengerusi ECERDC.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, salah satu kejayaan utama ECER ialah taburan pelaburan di Wilayah tersebut adalah seimbang dengan meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar.
Selain daripada kewujudan taman-taman perindustrian di Zon Ekonomi Khas ECER (ECER SEZ), ECER turut menerima komitmen pelaburan bagi kawasan luar bandar di Wilayah tersebut seperti di Gua Musang (Kelantan), Besut (Terengganu), Jengka dan Rompin (Pahang), serta Mersing (Johor), yang akan turut mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan demi manfaat masyarakat setempat.
Taman-taman perindustrian di ECER seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Taman Automotif Pekan, Taman Biopolimer Kertih, Taman Bio Bersepadu Kuantan, Taman Halal Gambang dan Taman Halal Pasir Mas terus menarik minat para pelabur kerana keunikan dan daya saing masing-masing, dengan nilai pelaburan terkumpul berjumlah RM24.7 bilion berjaya diperolehi sehingga kini, yang akan mewujudkan 14,809 peluang pekerjaan baharu.
Wilayah tersebut juga telah berjaya menarik pelaburan dari syarikat-syarikat multi-nasional terkemuka seperti BASF PETRONAS Chemicals Sdn Bhd, Kaneka Corporation, CJCheilJedang dan Arkema, serta syarikat-syarikat perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS).
Dalam usaha menjayakan transformasi Wilayah ini untuk menjadi sebuah destinasi pelaburan yang unggul, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM6.6 bilion untuk pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi di ECER melalui ECERDC di bawah Rancangan Malaysia Ke-9 (RMKe-9) dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10). Peningkatan pelaburan ini adalah juga merupakan hasil usaha promosi pelaburan ECERDC yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pelaburan awam, yang merangkumi projek-projek infrastruktur strategik dan inisiatif-inisiatif pembangunan modal insan dan usahawan yang dilaksanakan ternyata telah membuahkan hasil. Ini terbukti berdasarkan peningkatan jumlah pelaburan dan kemajuan yang terus dicapai dalam membangunkan modal insan tempatan melalui program-program seperti empower ECER, entrepreneur ECER, Agropolitan, Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) dan TERAJU@ECER,” kata Datuk Seri Issace.
Program pembangunan modal insan dan keusahawanan ECERDC telah memberi manfaat kepada lebih 48,000 penduduk tempatan dan mewujudkan lebih 9,000 usahawan di ECER, yang mana 80 peratus daripadanya merupakan usahawan wanita. Penerima manfaat turut merangkumi lebih 33,400 pelajar luar bandar dan 11,600 peserta dewasa yang menyertai Program Latihan Akademik dan Program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER.
Program entrepreneur ECER yang merupakan sebuah inisiatif pembangunan usahawan yang dilaksanakan dengan kerjasama SIRIM, Agrobank dan Maybank, telah berjaya memanfaatkan lebih 2,000 usahawan di Wilayah ini. Daripada jumlah tersebut, 1,662 usahawan telah menerima bantuan kewangan melalui skim pinjaman ECERDC-Agrobank, sementara 395 usahawan lagi telah memperolehi bantuan kewangan di bawah Skim Keusahawanan ECER-Maybank. Sejumlah 81 usahawan lagi mendapat manfaat daripada program pembangunan produk dan pemasaran yang disediakan di bawah program kerjasama ECERDC dengan SIRIM bertujuan untuk membantu mempertingkatkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi, termasuklah mengeksport produk mereka ke luar negeri.
Inisiatif ECERDC melalui Teraju@ECER direka khas untuk memenuhi Agenda Memperkasakan Ekonomi Bumiputerayangdiperkenalkan oleh Kerajaan. Sejak pelancarannya pada 2012, sebanyak 147 buah syarikat Bumiputera di ECER telah mendapat manfaat daripada inisiatif ini, yang terdiri daripada 92 buah Syarikat Bumiputera Berprestasi Tinggi (TeraS) yang menerima panduan dan khidmat nasihat perniagaan bagi memperkembangkan perniagaan masing-masing, sementara sebanyak 55 buah syarikat Bumiputera dengan nilai pelaburan berjumlah RM1.08 bilion pula telah diberikan Dana Mudah Cara TERAJU berjumlah RM136.6 juta.
Program Peningkatan Graduan ECER (ETEP) pula bermatlamat menangani masalah pengangguran di kalangan graduan tempatan, dengan menjadikan pemegang diploma dan ijazah sebagai kumpulan sasarnya. Di bawah program ini, para graduan dalam bidang-bidang teknikal dan yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan diberi latihan sambil bekerja, sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan bakat yang dijalankan. Sehingga kini, sejumlah 164 graduan teknikal yang mengikuti program tersebut yang diadakan dengan kerjasama DRB-HICOM dan Kaneka di Pahang telah berjaya mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat berkenaan setelah tamat latihan, dengan purata pendapatan sebanyak RM3,000 sebulan. Sejumlah 190 peserta lagi kini sedang menjalani latihan di kedua-dua syarikat tersebut di bawah program yang sama sejak Februari tahun ini. Sembilan (9) buah syarikat telah dikenalpasti untuk ETEP tahun ini, dengan 721 peserta lagi dijangka menyertai program ini pada tahun ini.