PUTRAJAYA, 4 OKTOBER 2021: Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) telah berjaya menarik pelaburan bernilai RM13.0 bilion, melepasi sasaran bagi tahun 2021 iaitu sebanyak RM12.0 bilion walaupun masih berdepan cabaran pandemik. Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan lebih daripada 10,600 peluang pekerjaan baharu serta 570 peluang keusahawanan di seluruh ECER.
“Kami telah mengambil peluang untuk bekerja dengan cara yang berbeza dan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri serta berbagai agensi seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) dan juga Wakil Dagang Persekutuan Rusia di Malaysia dalam menganjurkan webinar untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI). Pelaburan komited yang berjaya ditarik setakat ini adalah bukti kejayaan usaha ECERDC,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Majlis ECERDC.
ECERDC akan meneruskan usaha dalam menarik pelaburan baharu melalui kerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang berkaitan untuk menyokong usaha Kerajaan Persekutuan dalam menarik pelaburan ke Wilayah ini dan ke Malaysia. Bagi menjayakan usaha ini, Kerajaan Persekutuan telah meneruskan dasar mesra pelabur dan melanjutkan Pakej Insentif ECER sehingga 31 Disember 2022 bagi pelabur di ECER.
Mesyuarat Majlis ECERDC yang diadakan secara maya telah dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Pengerusi Majlis dan dihadiri oleh YAB Ustaz Dato’ Bentara Kanan Haji Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan; YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Terengganu; YAB Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang; dan YAB Datuk Ir. Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor. Turut hadir adalah YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi); dan YBhg. Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.
PROJEK INFRASTRUKTUR STRATEGIK AKAN MENGEKALKAN DAYA SAING ECER SEBAGAI DESTINASI PELABURAN
Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC telah memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik dan projek-projek baharu di ECER diteruskan bagi mengekalkan daya saing ECER sebagai destinasi pelaburan. Ini telah membolehkan ECER menarik lebih banyak pelaburan baharu ke sektor minyak, gas dan petrokimia (OGP), pembangunan tanah tinggi bersepadu, pembuatan keluli, pembuatan sarung tangan dan produk-produk hijau serta tenaga boleh diperbaharui.
Di Kelantan, projek pembangunan Laman Warisan Kampung Laut Fasa 1 telah siap baru-baru ini. Kompleks ini akan menempatkan pengusaha serunding dan makanan tradisional tempatan yang akan beroperasi di Laman Warisan Serunding Kampung Laut. Fasa 2 yang merangkumi Laman Warisan Seni dan penempatan semula Masjid Kampung Laut akan siap pada Mac 2022. Projek ini akan mentransformasi Kampung Laut menjadi destinasi pelancongan dan budaya yang berkembang maju, manakala Tok Bali yang sedang dibangunkan akan ditingkatkan kapasitinya untuk menjadi pusat pertumbuhan perdagangan serantau dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sosioekonomi di negeri ini.
Di Terengganu, ECERDC mengekalkan fokus untuk menarik pelaburan baharu terutama sekali ke Taman Biopolimer Kerteh (KBP) yang kini sedang menjalani kerja-kerja perluasan untuk Fasa 3B dan 4. Pelaburan utama lain termasuk perluasan loji bitumen dan juga kilang coke oven.
Di Pahang, pembinaan saluran air sepanjang 29km dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng, Pahang dengan kapasiti jangkaan sebanyak 90 juta liter sehari akan memastikan bekalan air tidak terganggu dan memenuhi permintaan pelabur di Kawasan Perindustrian Gebeng. Projek ini dijangka siap menjelang April 2023.
Di Mersing, Johor, projek Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) sedang dilaksanakan. ECERDC dan Kerajaan Negeri Johor telah menandatangani Perjanjian Kerjasama pada 18 September 2021 untuk membangunkan projek JDV sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan untuk mewujudkan Lembah Tenusu ECER. Apabila ia beroperasi sepenuhnya pada tahun 2023, ianya dijangka akan menghasilkan 5.1 juta liter susu segar setiap tahun. Ini akan meningkatkan pengeluaran susu negara sebanyak 11%. JDV juga dianggarkan akan mewujudkan 100 peluang pekerjaan baharu dan 30 peluang usahawan agro untuk warga tempatan di Mersing.
Projek lain yang sedang dibangunkan di Mersing adalah Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan hiliran dalam industri perikanan, Kampungstay di Air Papan iaitu pembangunan inap desa berasaskan komuniti, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar dan Rainforest Discovery Centre di Peta yang terletak di Taman Negara Endau-Rompin (Johor). Projek-projek ini akan membantu pertumbuhan jangka panjang di dalam sektor pelancongan di Mersing.
ECERDC juga telah mengenal pasti kawasan di negeri-negeri ECER bagi melaksanakan agrofood@ECER untuk projek tanaman kelapa, makanan haiwan dan fertigasi bagi menyokong inisiatif kemampanan bekalan makanan Malaysia.
PERDANA MENTERI PUJI USAHA ACES DALAM MEMBANGUNKAN APLIKASI WEB I4.0 PERTAMA UNTUK PELAJAR SEKOLAH
Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Ismail Sabri dalam mesyuarat pada hari ini, memuji inisiatif proaktif oleh Pusat Kecemerlangan Asia untuk Teknologi Pintar (ACES), sebuah kerjasama antara ECERDC dan TUM International GmbH (TUMInt), anak syarikat universiti terkemuka Jerman iaitu Technische Universität München (Universiti Teknikal Munich), dalam menyampaikan pengetahuan Industri 4.0 (I4.0) kepada pelajar Malaysia dengan membangunkan Aplikasi Web ACES I4.0.
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECERDC diberi taklimat dan melihat testimoni Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 yang telah diadakan di negeri-negeri ECER baru-baru ini.
Web aplikasi ini dibangunkan bagi mempersiapkan para pelajar untuk pekerjaan masa hadapan dengan meningkatkan kesedaran mengenai I4.0 dan melengkapkan bakat-bakat di ECER dengan kemahiran dan pengetahuan untuk memenuhi permintaan masa hadapan. Program Rintis Aplikasi Web ACES I4.0 telah memberi manfaat kepada seramai 3,110 orang pelajar di serata ECER. ECERDC sedang merancang untuk melancarkan program ini di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. ACES juga sedang dalam perbincangan dengan Kerajaan Negeri Johor mengenai program khusus bagi pelajar-pelajar di Johor.
PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Selain itu, program empower ECER Latihan Akademik telah mencatatkan kadar lulus 96% dalam peperiksaan SPM 2020 baru-baru ini berbanding 54% kadar lulus sebelum para pelajar mengikuti program ini. Kadar lulus ini adalah lebih tinggi daripada kadar lulus purata kebangsaan iaitu 89%. Peratusan pelajar yang mencapai minimum 5A dalam SPM juga telah meningkat kepada 8% daripada 1%, meskipun berhadapan dengan cabaran yang dibawa oleh pandemik ini dan pembelajaran di rumah. Keputusan yang direkodkan adalah luar biasa kerana para pelajar yang mengikuti program ini merupakan pelajar berprestasi rendah sebelum mereka menyertai program ini dan berasal daripada keluarga B40. ECERDC juga akan terus memberi bantuan kepada para pelajar untuk mendapatkan peluang melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi. Di samping itu, pada tahun ini program entrepreneur ECER telah membangunkan seramai 1,209 usahawan sedia ada dengan kerjasama Maybank, Agrobank dan SIRIM.
Inisiatif terbaharu ECERDC adalah kerjasama strategik dengan PERKESO yang akan membolehkan ECERDC memberi bantuan kepada lebih ramai rakyat di ECER dengan memanfaatkan pangkalan data pekerja PERKESO. Kolaborasi ini bertujuan untuk membolehkan isi rumah berpendapatan rendah dan individu yang menganggur mendapatkan peluang pekerjaan di Wilayah ini serta menggalakkan mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk mengikuti program pembangunan, iaitu salah satu faktor penting dalam pembangunan kerjaya mereka.
“Inisiatif ECERDC-PERKESO akan melibatkan perkongsian data bagi mengenal pasti individu yang menganggur dan graduan baharu di ECER dengan tujuan untuk membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan yang bersesuaian. Kami juga akan bekerjasama erat dengan PERKESO untuk memadankan peserta program insentif PERKESO dengan pangkalan data kami yang merangkumi pelabur dan majikan yang berpusat di ECER,” kata Encik Baidzawi Che Mat.