TUMPAT, KELANTAN, 15 OKTOBER 2021: Timbalan Menteri Kewangan I, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah telah mengetuai delegasi ke Kelantan sebagai sebahagian daripada Program Jelajah Belanjawan 2022, hari ini.
YB Timbalan Menteri Kewangan I telah melawat Laman Warisan Serunding Kampung Laut yang merupakan sebahagian daripada projek pembangunan semula Kampung Laut yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Projek ini bakal menjadikan Kampung Laut, yang terletak di Jajahan Tumpat sebagai sebuah pusat pelancongan warisan ikonik dan destinasi ‘mesti lawat’ di Kelantan.
Turut serta dalam lawatan kerja tersebut adalah YB Dato’ Haji Che Abdullah Bin Mat Nawi, Ahli Parlimen Tumpat, En. Wan Mohd Nasir Bin Wan Omar, Timbalan Ketua Jajahan Tumpat, En. Mohd Aidil Afizie Bin Abdul Latif, Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Negeri Kelantan dan Pn. Yusmurni Md Yusoff, Pengurus Kanan, Perancangan Strategik Korporat, ECERDC.
“Penyiapan Laman Warisan Serunding Kampung Laut ini bertepatan masanya dengan kebenaran merentas negeri yang diumumkan baru-baru ini, setelah hampir setahun sempadan negeri ditutup dan menjejaskan sektor pelancongan. Saya berbangga kerana ECERDC berpandangan jauh dan meneruskan projek-projek seperti yang dirancang walaupun sewaktu pandemik kerana ia akan memastikan momentum pembangunan ekonomi di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) tidak terjejas dan akan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan keusahawanan baharu kepada masyarakat setempat,” kata YB Tuan Mohd Shahar.
Laman Warisan Serunding Kampung Laut menyediakan 11 ruang niaga untuk menjual makanan tradisional tempatan seperti serunding Kampung Laut yang terkenal. Selain itu, projek pembangunan semula Kampung Laut ini turut merangkumi Laman Warisan Seni Kampung Laut yang membuka peluang kepada para pengusaha tempatan untuk mempamerkan karya seni mereka. Laman Warisan Seni ini yang dijangka siap pada awal tahun depan akan menyediakan ruang untuk menjual produk tempatan seperti batik, wau dan kraftangan kepada 12 peniaga tempatan.
Projek pembangunan semula Kampung Laut bukan sahaja bertujuan untuk menjana ekonomi menerusi aktiviti-aktiviti pelancongan malahan dapat membantu penduduk tempatan meneruskan aktiviti-aktiviti ekonomi lain yang terjejas akibat pandemik dan ini akan membantu menjana semula pertumbuhan sosioekonomi di kawasan-kawasan sekitar.
“Istimewanya projek ini adalah kerana ia adalah pembangunan mampan yang turut meraikan dan memelihara budaya, warisan dan tradisi kampung tempatan. Kampung Laut bakal menjadi muzium hidup di mana masyarakat setempat akan berpeluang menjana pendapatan melalui aktiviti kebudayaan seperti persembahan wayang kulit dan permainan wau, dan ini akan menyuburkan kembali minat orang-orang muda untuk menghidupkan kembali aktiviti-aktiviti kebudayaan seumpama ini,” kata Pengurus Besar Pejabat ECERDC Negeri Kelantan, Dato’ Wan Mohd Hasnan.
“Tidak kurang pentingnya adalah pemindahan masjid tertua di Malaysia yang masih digunakan iaitu Masjid Kampung Laut dari Nilam Puri ke tempat asal di Kampung Laut yang juga merupakan salah satu daripada komponen projek ini. Pemindahan masjid berusia lebih 300 tahun ini dapat mengekalkan nilai sejarah, budaya dan seni bina masjid serta mencipta mercu tanda warisan di Kelantan,” tambah Dato’ Wan Mohd Hasnan.
Bagi perancangan jangka panjang, Masjid Kampung Laut dan pembangunan Kampung Laut sebagai kampung warisan telah dicalonkan sebagai objek dan tapak warisan kebangsaan dan seterusnya bakal diiktiraf sebagai tapak warisan dunia di bawah UNESCO.
Akan datang, pembinaan Jambatan Palekbang dan Kota Bharu Promenade akan melengkapkan Laman Warisan Kampung Laut sebagai pembangunan bersepadu berasaskan pelancongan di negeri Kelantan dan akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan di kawasan-kawasan di sepanjang jalan tersebut.
“Kerajaan Persekutuan sentiasa menitikberatkan pembangunan yang akan membawa manfaat jangka panjang untuk rakyat dan akan mempertimbangkan kemungkinan untuk melaksanakan projek-projek yang mampu memperkukuh dan melengkapkan tarikan pelancongan di negeri ini, sekaligus meningkatkan ekonomi tempatan pada masa depan,” tambah YB Tuan Mohd Shahar.
Selain daripada Jambatan Palekbang, projek-projek utama lain di Kelantan adalah Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3), Central Spine Road (CSR) termasuk lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan kerja-kerja menaik taraf jalan raya Pasir Puteh ke Jeli. Projek-projek ini bukan sahaja akan meningkatkan kesalinghubungan antara Kelantan dan seluruh negara, malah akan turut mencetuskan limpahan ekonomi di kawasan sekitarnya.
Projek lain yang sedang dibangunkan adalah pembangunan Pasar Terapung Pulau Suri. Projek ini dijangka akan menarik lebih ramai pelancong ke pasar terapung tersebut. Skop projek merangkumi pembinaan platform pasar dan jeti, medan selera tertutup dan kerja-kerja infrastruktur awam lain.