PAHANG, 29 SEPTEMBER 2020: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Pahang akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan sektor-sektor ekonomi strategik seperti Pelancongan dan Pembuatan bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini. Usaha mengukuhkan industri pelancongan dan pembuatan adalah penting kerana kedua-dua sektor ini telah terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.
Pelancongan adalah salah satu daripada teras Pelan Strategik Negeri Pahang 2050 dan juga merupakan sumber pendapatan utama bagi negeri ini yang terkenal dengan destinasi pelancongan bertaraf dunia. Oleh yang demikian, pembangunan pelancongan yang dilaksanakan oleh ECERDC di negeri Pahang adalah sejajar dengan slogan pelancongan negeri iaitu “Pahang, Simply Awesome”.
ECERDC telah melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk memacu sektor pelancongan di Pahang. Menerusi konsep ‘Rainforest to Reef’ (R2R) yang diperkenalkan oleh ECERDC, semua produk, aset dan pembangunan pelancongan digabungkan bagi menawarkan pengalaman pelancongan yang menyeluruh untuk para pelancong. Di samping itu, konsep ini juga memastikan kelestarian untuk generasi akan datang dan menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negeri dalam jangka panjang.
Antara projek yang dilaksanakan oleh ECERDC bagi menyokong sektor pelancongan di Pahang termasuk menaik taraf kemudahan pelancongan utama, serta pemeliharaan dan pemuliharaan destinasi pelancongan yang popular dan penting di negeri ini. Ini bagi memastikan destinasi-destinasi ini kekal menarik dan mampan dalam jangka masa panjang.
Salah satu destinasi ekopelancongan ialah Tasik Chini, tasik air tawar semula jadi yang kedua terbesar di Malaysia dan merupakan Rizab Biosfera UNESCO pertama di negara ini. Sejak tahun 2009, ECERDC telah melaksanakan pelbagai usaha pemuliharaan dan pemeliharaan bagi memastikan Tasik Chini kekal sebagai destinasi pelancongan yang mampan. Antaranya termasuklah program penghutanan semula, menaik taraf stesen pengawasan kualiti air dan mewujudkan nurseri teratai di Tasik Chini bagi menggantikan populasi teratai di kawasan tasik. Sebuah lagi destinasi ialah Taman Negeri Rompin, antara hutan hujan yang tertua di dunia. ECERDC dan kerajaan Negeri Pahang baru-baru ini telah merasmikan Rainforest Discovery Centre di Taman Negeri Rompin untuk meningkatkan lagi daya tarikan taman negeri tersebut.
Pahang juga menawarkan destinasi pelancongan pulau dan pantai bertaraf dunia seperti Pulau Tioman dan Pantai Cherating yang popular sebagai tempat bertelur bagi penyu hijau dan penyu belimbing mulai bulan Jun hingga September. ECERDC mencadangkan supaya Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu dinaik taraf menjadi sebuah tarikan pelancong yang akan turut mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan usaha-usaha pemuliharaan.
Pelancongan bandar juga merupakan segmen penting, yang mana bandar Kuantan menawarkan pelbagai daya tarikan “wajib kunjung”. Kuantan Waterfront merupakan antara destinasi pelancongan yang meriah di mana menara Kuantan 188 yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC menjadi daya tarikan utama di bandar ini. Destinasi pelancongan lain yang baharu dibangunkan di Pahang oleh ECERDC termasuklah Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dan Titik Tengah Semenanjung di Temerloh.
“Projek-projek pelancongan ini telah ‘mencipta’ destinasi yang menggalakkan aktiviti pelancongan, sekaligus menghasilkan kesan limpahan sosioekonomi dalam bentuk peluang pekerjaan dan keusahawanan untuk penduduk tempatan,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Pahang hari ini.
Di samping itu, walaupun menghadapi cabaran susulan daripada penularan pandemik COVID-19, sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama pelaburan swasta dan pemacu ekonomi yang penting di negeri Pahang. Ekosistem, sumber dan infrastruktur yang telah dibina di negeri Pahang menjadikannya sebagai sebuah destinasi untuk pelaburan dalam sektor pembuatan yang berdaya saing. Kerajaan Negeri Pahang juga telah membangunkan Kawasan Khas Daerah Gebeng Kecil untuk memudahkan pelaburan dan perniagaan. Selain itu, Pusat Sehenti Pelaburan Gebeng telah ditubuhkan bagi mempercepatkan kelulusan pelaburan di negeri Pahang.
ECERDC telah mengambil pelbagai pendekatan untuk membolehkan pertumbuhan pelaburan. Antaranya ialah meningkatkan kesalinghubungan dan infrastruktur, menyediakan pakej insentif yang menarik, memudahcara pelaburan serta melaksanakan program pembangunan modal insan bagi membangunkan bakat tempatan yang bersedia untuk menyertai industri. Antara projek infrastruktur yang akan dilaksanakan ialah pembinaan saluran paip bagi bekalan air dari Kemaman, Terengganu ke Gebeng yang akan bermula pada bulan Jun 2021. Projek ini dijangka dapat meningkatkan tarikan Gebeng kepada para pelabur. Selain itu, manfaat tambahan untuk para pelabur di Pahang ialah kedudukan strategik Pelabuhan Kuantan yang menjadikan pelabuhan ini sebagai pintu masuk yang ideal untuk menembusi pasaran ASEAN dan Asia Pasifik, sekaligus merancakkan lagi perdagangan antarabangsa dan juga pelaburan ke negeri ini.
“Peningkatan infrastruktur perdagangan dan kemudahan pelabur merupakan pemangkin utama bagi sektor pembuatan. Sektor logistik dan perkhidmatan merupakan kelompok ekonomi baharu yang dikenal pasti di dalam Pelan Induk ECER 2.0 (EMP2.0) sebagai pengupaya pertumbuhan sosioekonomi di ECER yang akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat,” kata Encik Baidzawi.
“Pembangunan sosioekonomi negeri Pahang pasca pandemik COVID-19 perlu dipercepatkan demi kesejahteraan rakyat. ECERDC komited untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan menyokong perkembangan sektor-sektor ekonomi utama di negeri Pahang. Ini termasuk melaksanakan pembangunan infrastruktur strategik bagi meningkatkan sektor pelancongan. Projek berimpak tinggi seperti pembangunan Bandar Pelabuhan Kuantan akan menggalakkan aktiviti ekonomi domestik dan pelaburan swasta ke negeri ini. Usaha ini akan membawa manfaat sosioekonomi secara langsung kepada rakyat menerusi peningkatan peluang pekerjaan dan keusahawanan,” tambah Encik Baidzawi.
Di bawah EMP 2.0, sasaran pelaburan untuk negeri Pahang dari tahun 2018 hingga 2025 adalah sebanyak RM31 bilion. Daripada jumlah ini, Pahang telah menarik sebanyak RM9.38 bilion pelaburan komited daripada 40 projek yang akan mewujudkan lebih daripada 8,300 peluang pekerjaan dan 760 peluang keusahawanan. Pelaburan sebanyak RM1.93 bilion telah direalisasikan dalam tempoh laporan yang sama.
Dari segi pembangunan modal insan, lebih 12,400 orang warga tempatan termasuk Orang Asli telah menyertai dan mendapat manfaat daripada program Latihan Akademik empower ECER (10,232) dan latihan Kemahiran dan Keusahawanan empower ECER (2,255). Manakala di bawah program entrepreneur ECER, seramai 1,196 usahawan telah dibangunkan dan sebanyak 2,880 peluang pekerjaan telah diwujudkan di bawah EMP 2.0. Menerusi program PENJANA-ECERDC, yang dikenali sebagai ETEP Enhanced – Train and Place pula, ECERDC menyasarkan untuk meningkatkan kemahiran seramai 1,500 belia menganggur dan mereka yang diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19 bermula pada bulan September tahun ini.
Tentang ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my