MERSING, JOHOR – 8 OKTOBER 2020: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Kerajaan Negeri Johor bekerjasama erat untuk memanfaatkan potensi Mersing dalam menjadi destinasi perniagaan tani dan pelancongan yang utama bagi memacu aktiviti ekonomi di Mersing pasca COVID-19.
Perniagaan Tani
Sejajar dengan aspirasi Kerajaan untuk meningkatkan kemandirian negara dalam pengeluaran makanan susulan daripada penularan pandemik COVID-19, pelaksanaan dua projek perniagaan tani utama iaitu Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing oleh ECERDC di Mersing, adalah bertepatan pada masanya.
JDV, yang dijangka siap pada Februari 2023 akan mengurangkan lagi pergantungan negara terhadap produk tenusu import yang dianggarkan bernilai RM3.9 bilion pada tahun 2019. Ia merangkumi kemudahan huluan dan hiliran seperti kandang lembu, kawasan pemerahan susu, pusat pemprosesan susu dan stesen makanan untuk haiwan ternakan di tanah seluas 275 hektar di Sungai Ambat, Jemaluang. Projek ini juga akan turut dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti agropelancongan.
ECERDC akan meneruskan model perniagaan Syarikat Induk di JDV, di mana Kerajaan memudahcara pelaburan dan pembangunan infrastruktur manakala sektor swasta menerajui pembangunan komersial. Pembangunan rantaian nilai pengeluaran susu melalui model perniagaan ini akan meningkatkan jumlah pekerjaan dan aktiviti keusahawanan di ECER. Impak sosioekonomi yang positif akan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk tempatan.
Sementara itu, pembangunan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing akan memberikan nafas baharu kepada sektor perikanan Mersing yang merupakan pemacu ekonomi tradisional untuk daerah ini. Pembangunan ini akan meningkatkan kualiti produk hiliran berasaskan ikan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan. Ia juga akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan.
Taman Pemprosesan Ikan yang dijangka siap pada bulan Mac 2022 ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.85 ekar yang dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Endau. Pembangunan ini bakal merangkumi pusat sejuk beku, kilang memproses produk ikan dan makanan laut, serta kemudahan kilang untuk PKS. Tambahan lagi, taman ini juga akan meningkatkan kualiti produk berdasarkan keperluan keselamatan dan pengesanan makanan antarabangsa. Ini akan membantu meningkatkan prospek eksport produk berasaskan ikan dari Mersing.
“Pandemik ini telah menunjukkan betapa mudahnya kita terkesan apabila bergantung kepada makanan yang diimport, susulan daripada gangguan dalam rantaian bekalan makanan ketika sempadan ditutup. Oleh itu, ECERDC komited dalam menyokong usaha meningkatkan aktiviti pertanian, selaras dengan objektif Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import. Ianya penting bagi negara untuk lebih berdaya maju dalam perkara ini dalam masa terdekat,” kata Encik Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor. Mesyuarat ICC dijalankan secara atas talian buat pertama kalinya hari ini dan dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Datuk Ir. Haji Hasni bin Haji Mohammad.
Sektor Pelancongan
Pemacu ekonomi utama lain yang akan terus mendorong pertumbuhan sosioekonomi di Mersing adalah sektor pelancongan. Dalam 10 tahun kebelakangan ini, ECERDC telah melaksanakan beberapa projek pelancongan yang telah berjaya meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dan daya tarikan pelancong di Mersing. Strategi pembangunan ‘Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ atau ‘Rainforest to Reef’ (R2R) di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang seiring dengan slogan “Naturally Splendid” Mersing, akan terus dilaksanakan bagi memanfaatkan potensi ekopelancongan, pelancongan pesisir dan pelancongan pulau di daerah ini.
Sebuah lagi projek utama adalah projek Kampungstay Air Papan yang melibatkan pembinaan chalet dengan estetika tempatan dan peningkatan kemudahan di sekitarnya untuk mengubah konsep inap desa tradisional kepada produk pelancongan berasaskan komuniti. Projek ini yang dijangka siap pada Februari 2022 akan membolehkan masyarakat tempatan memperoleh pendapatan melalui koperasi yang ditubuhkan untuk mengurus dan memberikan pengalaman inap desa serta kemudahan kepada pelancong. Selain itu, penduduk tempatan juga akan mendapat manfaat daripada limpahan ekonomi melalui pewujudan peluang pekerjaan dan keusahawanan berkaitan dengan pelancongan seperti pemandu pelancong atau pengusaha perniagaan kecil dalam bidang makanan dan minuman, cenderahati dan banyak lagi.
Sementara itu, Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar yang akan siap awal tahun depan pula akan memainkan peranan sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk komuniti tempatan. Selain itu, PIPTLSI juga akan menjadi destinasi pelancongan ‘mesti dikunjungi’ di Kepulauan Mersing. Selain itu, ECERDC juga sedang membangunkan jeti dan pemecah ombak di Pulau Pemanggil. Ia dijangka siap pada akhir suku pertama tahun depan sejurus berakhirnya musim tengkujuh dan akan memudahkan pelancong mengunjungi pulau tersebut.
Selain itu, pembangunan ekopelancongan di Taman Negara Endau-Rompin (TNER) bakal melibatkan penambahbaikan kemudahan pelancongan dan penaiktarafan Rainforest Discovery Centre di Peta, Johor. Projek ini dijangka siap menjelang Mei 2023 dan merupakan kesinambungan daripada inisiatif sebelumnya iaitu penaiktarafan jalan masuk dari Sungai Emas ke pintu masuk Taman Negara.
Projek infrastruktur lain yang masih di dalam perancangan termasuk cadangan pembinaan jalan masuk ke TNER dari Kahang ke Sungai Emas, jalan pintas Mersing (Mersing bypass) dan projek LPT fasa 4 yang merupakan kesinambungan dari projek lebuh raya Pantai Timur.
“Pembangunan kemudahan infrastruktur strategik adalah sangat penting untuk memastikan Mersing kekal menjadi destinasi pelancongan yang menarik di negara ini. Penaiktarafan jalan dan kemudahan lain telah memainkan peranan penting dan menjadi pemangkin dalam memacu sektor pelancongan, sekaligus, mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan bagi penduduk tempatan,” kata Encik Baidzawi.
Tentang ECER dan ECERDC
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk memacu serta melaksanakan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). ECERDC menjadi pendukung utama dalam menetapkan halatuju, dasar dan strategi pembangunan sosioekonomi Wilayah ECER dengan menggalakkan dan membawa pelaburan ke Wilayah ini.
Wilayah ECER yang meliputi negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing di Johor, kini merupakan wilayah yang sedang pesat membangun sebagai destinasi yang unik, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan.
Ia merangkumi kawasan seluas lebih 66,000 km per segi atau 51% daripada keluasan Semenanjung Malaysia. Wilayah ini didiami oleh seramai 4.8 juta penduduk, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk Malaysia. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama, iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kelompok-kelompok ini disokong oleh pembangunan dalam bidang Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini sebagai sebuah destinasi yang ideal untuk perniagaan, pelaburan dan gaya hidup yang berkualiti.
Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Tengku Mazlinda Tengku Mahmood
Pengurus, Perhubungan Media
Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)
Tel: 03-8885 0182 / 010-408 1085
E-mel: mazlinda@ecerdc.com.my