ECERDC CATAT PELABURAN DIREALISASI RM6.4 BILION, PACU PERTUMBUHAN WILAYAH
Pencapaian didorong oleh pelaburan komited berjumlah RM10.4 bilion, melepasi
sasaran tahunan
PUTRAJAYA, 30 JUN 2025: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah mencatat pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun 2025. Pencapaian pelaburan ini mencerminkan keyakinan berterusan para pelabur serta keberkesanan strategi dan inisiatif pemudahcara pelaburan yang dilaksanakan.
Jumlah pelaburan yang telah direalisasikan ini merupakan sebahagian daripada pelaburan komited terkini berjumlah RM10.4 bilion, sekali gus membolehkan ECERDC melepasi sasaran pelaburan tahunan sebanyak RM10 bilion bagi tahun 2025. Prestasi memberangsangkan ini turut dijangka mewujudkan sekitar 2,844 peluang pekerjaan di seluruh wilayah ini.
Sektor

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang direkodkan, merangkumi 59% daripada keseluruhan pelaburan. Dari segi agihan mengikut negeri, Pahang mencatat jumlah tertinggi dengan RM4 bilion, diikuti oleh Terengganu berjumlah RM1.3 bilion dan Kelantan sebanyak RM1.1 bilion. Sementara itu, daerah Mersing di Johor berjaya menarik pelaburan bersasar berjumlah RM13.3 juta, khususnya dalam sektor pertanian.
Antara pelaburan utama yang telah direalisasikan dalam tempoh enam bulan pertama pada tahun 2025, termasuk pembinaan loji bersepadu minyak dan penapisan bernilai RM1 bilion, pembangunan pelancongan bernilai RM950 juta, serta kemudahan pengeluaran Maleic Anhydride bernilai RM667 juta di Pahang. Di Kelantan pula, sebuah loji mini hidro berkapasiti 84 MW bernilai RM1 bilion sedang dibangunkan, manakala Terengganu merekod pelaburan sebanyak RM638 juta bagi pembangunan fasiliti pemprosesan pulverised quartz.
“ECERDC terus memainkan peranan yang penting dalam membentuk pembangunan inklusif di Wilayah Pantai Timur. Pelaburan yang berjaya diperoleh ini membuktikan bahawa ECER akan terus menjadi koridor yang berpotensi tinggi di Malaysia. Usaha ini juga sejajar dengan komitmen negara dalam memastikan pembangunan wilayah yang seimbang agar rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan ekonomi,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis ECER yang pertama bagi tahun 2025 di Putrajaya hari ini.
Seiring dengan pencapaian pelaburan, ECERDC sedang melaksanakan lapan projek strategik dan berimpak tinggi yang dijangka siap pada tahun 2025, sejajar dengan teras strategik yang digariskan di bawah Pelan Pembangunan ECER.
Bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, ECERDC juga telah menyiapkan Pusat Pengumpulan Susu Kambing di Ketereh dan Pasir Puteh, Kelantan pada April 2025 dan sedang giat membangunkan Lembah Tenusu Jemaluang di Johor bagi memperkukuh rantaian nilai agro-makanan di wilayah ini. Dalam usaha membangunkan sektor pelancongan, beberapa projek sedang dilaksanakan termasuklah Pusat Maklumat dan Konservasi Penyu Cherating di Pahang (telah disiapkan pada April 2025), Promenad Fasa 1 Pusat Bandar Kuala Terengganu (KTCC), Jeti Pulau Pemanggil di Mersing serta kerja-kerja menaik taraf jalan untuk akses ke Taman Negara Endau Rompin dari Kahang ke Sungai Emas di Johor.
Dalam menyokong sektor pembuatan bernilai tinggi dan industri hard-to-abate, ECERDC turut memacu kemajuan Taman BioPolimer Kerteh di Terengganu yang menyokong pembangunan industri biopolimer, petrokimia dan bahan termaju. Fasa 4A Pakej 1 telah berjaya disiapkan pada tahun 2024, manakala Kompleks PKS Fasa 1B dijangka siap menjelang pertengahan 2025. Pakej 2 Fasa 4A pula sedang giat dibangunkan. Secara keseluruhan, projek ini disasarkan untuk menarik pelaburan berjumlah RM4.4 bilion menjelang tahun 2029. Dalam usaha meningkatkan keterhubungan antara wilayah, projek Jalan Lapangan Terbang Kuala Terengganu (Pakej 2) kini dalam pembinaan bagi memperbaiki akses dan menyokong ekosistem pelancongan serta logistik wilayah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat berkata, “Projek-projek strategik ini merupakan asas penting kepada pertumbuhan ekonomi mampan di ECER. Usaha memperkukuh ekosistem industri utama, meningkatkan tahap keterhubungan serta melaksanakan inisiatif yang berteraskan komuniti bukan sahaja berjaya menarik minat pelabur, malah turut membawa manfaat yang signifikan kepada kesejahteraan masyarakat setempat.”
Sementara itu, pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu, sebuah projek pemangkin yang akan meningkatkan kesalinghubungan merentasi sungai serta membuka peluang ekonomi di Kelantan telah bermula pada awal tahun ini dan sedang berjalan dengan lancar.
Turut hadir dalam mesyuarat Majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Besar Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, YBhg. Dato’ Nor Azmie Diron.
-TAMAT-