EKONOMI KELANTAN TERUS MAJU DENGAN PELABURAN DIREALISASIKAN BERJUMLAH RM1.21 BILION, DIPACU OLEH SEKTOR PEMBUATAN

KOTA BHARU, 29 APRIL 2025 – Transformasi Kelantan sebagai hab perindustrian semakin menyerlah dengan kemajuan ketara apabila Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.21 bilion, yang kebanyakannya dipacu oleh sektor pembuatan. Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Antara penyumbang utama kepada pencapaian ini ialah projek Loji Janakuasa Hidro Mini 84 MW di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah, serta pembangunan Pusat 3S Automotif (Jualan, Servis & Alat Ganti) di Taman Halal Pasir Mas yang dijangka untuk memulakan operasi pada suku keempat 2025. Kedua-dua projek berimpak tinggi ini dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang berkualiti selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC.
“Pencapaian yang melepasi sasaran pelaburan tahunan ini jelas mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri, dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC. Pelaburan berjumlah RM1.21 bilion yang telah direalisasikan ini, khususnya dari sektor tenaga boleh diperbaharui, memperlihatkan kesediaan Kelantan untuk menarik pembangunan berskala besar. Tambah lagi dengan pelaburan komited sebanyak RM290 juta yang dijangka untuk mewujudkan lebih daripada 650 peluang pekerjaan, keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang Kelantan akan terus kukuh,” kata YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi tahun 2025.
Pada masa yang sama, kemajuan ketara turut dicatatkan dalam pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu. Kerja-kerja bagi komponen utama iaitu struktur cable-stayed merentasi Sungai Kelantan telah dimulakan pada April 2025 dan dijangka siap seperti dirancang. Jambatan ini akan berfungsi sebagai laluan strategik yang menghubungkan pusat bandar Kota Bharu dengan kawasan pembangunan baharu di Palekbang, di mana ia dapat mengurangkan kesesakan trafik terutama di Jambatan Sultan Yahya Petra, serta meningkatkan kecekapan pergerakan antara zon ekonomi utama di negeri ini. Jambatan ini juga dijangka untuk menjadi pemangkin utama kepada pembangunan di daerah Tumpat dan Kota Bharu serta menggalakkan pertumbuhan aktiviti pelancongan di sekitar Pusat Bandar Kota Bharu.
“Kemajuan pembinaan Palekbang–Kota Bharu merupakan pemangkin utama kepada transformasi landskap infrastruktur di Kelantan. Projek ini dibentuk untuk membina semula ketersambungan dan memacu aktiviti ekonomi yang merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan, logistik, dan perdagangan. Digandingkan dengan pelaburan yang telah direalisasikan pada suku pertama 2025, yang dibentuk oleh sektor pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui, ia menunjukkan bahawa momentum pembangunan yang dicetuskan di Kelantan mula memberi impak positif kepada komuniti setempat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat.
Dalam usaha untuk memperkukuh taraf sosiekonomi luar bandar, ECERDC turut melaksanakan Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Machang, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi dengan memeterai perjanjian kerjasama bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang. Majlis menandatangani perjanjian ini telah disaksikan oleh YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin bin Haji Daud, Menteri Besar Kelantan. Projek fertigasi cili menggunakan teknologi pintar seluas 58.55 ekar ini dijangka untuk mula beroperasi pada suku ketiga 2025 dan menyasarkan pendapatan mampan bulanan sehingga RM2,000 kepada 100 peserta melalui amalan pertanian moden.
Di bawah Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan, ECERDC telah menyiapkan dua Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh, lengkap dengan kemudahan fasiliti pengeluaran makanan ternakan bagi menjamin kualiti serta bekalan makanan haiwan yang lebih baik. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memperkukuh tahap sara diri industri tenusu negeri. Ia juga membuka peluang kepada penternak untuk meningkatkan pendapatan menerusi amalan penternakan moden yang lebih efisien dan berdaya saing.
Mesyuarat ICC ECER Kelantan telah dihadiri oleh pegawai kanan Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk YBrs. Tuan Haji Ahmad Adlee bin Yasin. Timbalan SUK (Pembangunan); YBrs. Tn Haji Nik Raisnan bin Haji Daud, Pengarah Tanah & Galian Negeri Kelantan; YBrs Encik Wan Zulfadhli Syahman bin Wan Yusof, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan; YBrs Puan Zaiton Yahaya, Pengarah (Pembangunan Koridor), Pengarah, Bahagian Pembangunan Wilayah, Kementerian Ekonomi (KE).
-TAMAT-