ECERDC MENERAJUI KEMAJUAN PERTANIAN DI WILAYAH EKONOMI PANTAI TIMUR MELALUI KERJASAMA STRATEGIK DENGAN SYARIKAT INDUK

 MAHA 2024 Menampilkan Peranan ECERDC dalam Memajukan Sektor Pertanian dan Sekuriti Makanan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur 

 SERDANG, 13 SEPTEMBER 2024: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) mempamerkan beberapa inisiatif strategik melalui kerjasama dengan syarikat-syarikat induk dalam usaha memajukan sektor pertanian di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan (MAHA) 2024, yang bermula pada 11 September 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor, dengan tema ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’. 

Penyertaan MAHA 2024 ini membuktikan komitmen ECERDC dalam meningkatkan sekuriti makanan dan pertumbuhan ekonomi melalui teknologi pertanian moden dan amalan lestari, yang bertujuan untuk memperkasakan penduduk tempatan serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan. 

“Kejayaan yang dipamerkan di MAHA 2024 mencerminkan komitmen kami untuk memodenkan sektor pertanian dan memperkukuh sekuriti makanan di Malaysia. Kerjasama kami dengan Syarikat-Syarikat Induk seperti Farm Fresh dan Lada Besa Sdn. Bhd. (LadaBESA) memainkan peranan penting dalam mentransformasikan landskap pertanian di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), mencipta peluang pekerjaan, dan memperkasa penduduk tempatan, terutamanya golongan B40 dan Orang Asli,” kata YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC. 

Pada bulan Mei 2024, ECERDC telah bekerjasama dengan Lada Besar Sdn. Bhd. dan anak syarikatnya, LadaBESA, sebagai syarikat induk untuk mengurus projek fertigasi cili seluas 77 ekar di Bukit Bidong, Setiu, Terengganu. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada Inisiatif Pendapatan Rakyat – Inisiatif Usahawan Tani (IPR-INTAN). LadaBESA, yang terkenal dengan kepakaran teknologinya, mengintegrasikan sistem pengairan pintar berasaskan IoT yang mampu menghasilkan pelbagai hasil tanaman secara berterusan, termasuk cili, bendi, dan terung. Projek ECERDC ini adalah yang pertama seumpamanya di bawah program IPR-INTAN dan menandakan satu langkah yang penting terhadap pembasmian miskin tegar, memperkukuh 

sekuriti makanan negara, dan memacu penggunaan teknologi pertanian pintar di Malaysia. 

“Usaha kami dalam memodenkan sektor pertanian, ditambah dengan kerjasama yang kukuh, bukan sahaja meningkatkan pengeluaran hasil tempatan tetapi juga memastikan bekalan makanan negara yang stabil. Kami berhasrat untuk mereplikasi kejayaan inisiatif seperti Ladang Nanas Bersepadu Rompin (RIPP), yang menghasilkan produk berasaskan nanas jenama Rompine, serta Pusat Inovasi dan Penyelidikan Lembu Muadzam Shah (MSCRIC) yang membekalkan susu segar untuk Farm Fresh, melalui kerjasama dan model syarikat induk dan pihak berkepentingan,” tambah YBhg. Dato’ Baidzawi Che Mat. 

MSCRIC dan RIPP merupakan contoh utama tentang keberkesanan kerjasama strategik dalam mentransformasikan landskap pertanian. MSCRIC menghasilkan 6 juta liter susu segar setiap tahun di bawah jenama Farm Fresh, mencipta lebih daripada 200 peluang pekerjaan untuk penduduk tempatan dan Orang Asli, dan melahirkan lebih daripada 1,100 usahawan. Sementara itu, RIPP menggunakan teknologi dan teknik pertanian moden secara komersial dan berskala besar untuk menghasilkan nanas MD2, di samping mengurus keseluruhan rantaian nilai, yang menyediakan peluang pekerjaan kepada 138 pekerja tempatan, termasuk 82 Orang Asli. 

Selain itu, Pembangunan Kluster Herba Bersepadu (HICD) di Chegar Perah, Lipis, yang diterajui oleh syarikat induk CSC Integrated Herbal Sdn Bhd, membawa satu lagi dimensi kepada strategi pertanian ECERDC. Dengan lebih 21,159 pokok Tongkat Ali dan herba bernilai tinggi yang lain seperti Limau Kasturi, projek ini meliputi kawasan seluas 119 hektar dan telah mencipta 28 peluang pekerjaan untuk komuniti setempat. Inisiatif ini membuktikan komitmen ECERDC dalam meluaskan skop pengeluaran hasil pertanian dan mempromosikan amalan lestari. 

Dengan menggalakkan inovasi dan amalan lestari, ECERDC memain peranan penting dalam memperkukuh sekuriti makanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta mewujudkan peluang ekonomi, terutamanya bagi keluarga dari golongan berpendapatan rendah. Inisiatif-inisiatif ini menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan sosio-ekonomi di ECER dan memastikan bekalan makanan yang berdaya tahan serta mampan untuk negara. 

ECERDC akan turut mempamerkan empat taman industri pertanian di MAHA 2024, yang dibentuk untuk memperkukuh sektor pertanian negara. Taman-taman tersebut termasuk Taman Halal Pasir Mas (PMHP), Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing (EMFPP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP), dan Taman Halal Gambang (GHP). Setiap taman industri ini dirancang untuk membangunkan sektor perniagaan tani serta menyokong inisiatif agrofood@ECER, yang mensasar untuk mencapai kadar sara diri (Self-Suffiency Rate – SSR) 100%. Strategi jangka panjang ini selaras dengan aspirasi ECERDC untuk mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap import serta meletakkan ECER sebagai hab pengeluaran makanan utama negara. 

ECERDC akan berada di Pameran MAHA 2024 di MAEPS, Serdang, Selangor, sehingga 22 September 2024. Para pengunjung dijemput untuk meneroka peluang dalam sektor pertanian di Wilayah Pantai Timur, di mana ECERDC memainkan peranan untuk membantu memudahcara 

agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam pelaksanaan projek pemangkin yang strategik dan berimpak tinggi bagi membangunkan sosioekonomi di ECER. 

-TAMAT- 

MENGENAI ECER AND ECERDC 

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), yang meliputi negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, serta daerah Mersing dan Segamat di Johor, merupakan wilayah yang pesat bertransformasi, sekaligus meletakkan dirinya sebagai destinasi tersendiri, dinamik dan berdaya saing untuk pelaburan. 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menerajui pelaksanaan Pelan Induk Wilayah Ekonomi Pantai Timur. ECERDC memainkan peranan utama dalam menetapkan hala tuju, dasar dan strategi untuk pembangunan sosio-ekonomi ECER dengan mempromosi dan memudahkan pelaburan ke Wilayah ECER. 

Secara geografinya, wilayah ini meliputi kawasan seluas lebih 69,000 km persegi atau 52% daripada Semenanjung Malaysia. Ia merupakan tempat tinggal kepada lebih 5 juta orang, atau kira-kira 15% daripada jumlah penduduk negara. Pertumbuhan ekonomi di Wilayah ini dipacu oleh enam kelompok ekonomi utama iaitu Pelancongan, Minyak, Gas & Petrokimia, Pembuatan, dan Perniagaan Tani, Pembangunan Modal Insan dan Pembangunan Keusahawanan serta Logistik dan Perkhidmatan. Kluster-kluster ini disokong oleh perkembangan dalam Pengangkutan, Infrastruktur, Hartanah dan Alam Sekitar untuk menjadikan Wilayah ini destinasi ideal untuk perniagaan, pelaburan dan kehidupan berkualiti. 

Untuk pertanyaan media, sila hubungi: 

Nadhirah Naaim 

Eksekutif Kanan, Perhubungan Media 

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) 

Tel: 03-8885 0166 / 017-230 3924 

Emel: nadhirahn@ecerdc.com.my